KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan sedang mempertimbang kaedah baharu kepada pemandu mabuk yang memandu di bawah pengaruh alkohol dengan bayaran pampasan serta ganti rugi kepada mangsa dan keluarga.
Menterinya, Anthony Loke berkata, ia antara cadangan pindaan yang sedang dipertimbang untuk dimasukkan ke dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dimana sebelum ini hanya menjatuhkan hukuman penjara dan denda kepada pemandu yang bersalah.
Bagaimanapun katanya, ia perlu mendapatkan kelulusan daripada jemaah menteri, kemudiannya draf pindaan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara.
“Saya nyatakan secara awam dan dalam pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026) semalam, kita memang sedang mempertimbang satu kaedah baharu, yang bukan sahaja menjatuhkan hukuman penjara dan denda kepada pemandu yang salah atau pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
“Tetapi kita juga memasukkan elemen supaya mereka perlu bayar ganti rugi kepada mangsa atau pampasan kepada mangsa keluarga.
“Bagaimanapun, dalam kita nak menggubal pindaan ini, ada prosesnya. Mengapa tidak ada dalam pindaan kali ini? Sebab pindaan yang kita bawa hari ini secara dasarnya sudah pun diluluskan dua tahun lalu dan kita mengambil masa satu hingga dua tahun untuk merangka pindaan ini,” katanya pada sesi penggulungan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Anthonye Loke, pihaknya mahu memasukkan satu lagi pindaan di mana proses penggubalan itu perlu kembali kepada asalnya iaitu perlu mendapatkan kelulusan dasar daripada Jemaah Menteri dan RUU oleh Jabatan Peguam Negara.
Katanya lagi, kementerian komited membawa satu lagi pindaan Akta Pengangkutan Jalan pada hujung tahun ini, iaitu pada persidangan kali ketiga.
Ketia perbahasan RUU berkenaan, beberapa ahli parlimen mempersoal mengapa peruntukan berkaitan pemandu mabuk tidak dimasukkan dalam pindaan RUU, sekali gus mendakwa kerajaan tidak serius untuk menangani masalah itu.
Dalam pada itu, beliau berkata, cadangan kenaikan kadar kompaun daripada RM300 kepada RM500 bukan dikenakan kepada semua kesalahan.
“Kenaikan ini bukan bertujuan menambah hasil kerajaan, sebaliknya adalah meningkatkan pematuhan.
“Kesalahan seperti melanggar lampu isyarat merah, memandu secara berbahaya atau mengabaikan peraturan asas boleh membawa akibat yang sangat serius,” katanya.
RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026) diluluskan di Dewan Rakyat hari ini selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Melalui RUU itu, kerajaan antara lain bercadang menguatkuasakan kadar maksimum kompaun baharu dari RM300 kepada RM500 bagi kesalahan jalan raya mulai 1 Januari 2029.
Selain itu, seksyen baharu 42A turut diperkenalkan bagi menjadikan perbuatan berlumba atau menduga kelajuan sebagai satu kesalahan khusus mengikut Akta 333, yang mana tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap aktiviti berkenaan tanpa perlu menunggu sehingga berlakunya kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa. – UTUSAN










