PUTRAJAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab rejim Zionis Israel melancarkan serangan udara ke atas sebuah bangunan kediaman di Doha, Qatar semalam.
Tindakan itu jelas mencabuli kedaulatan negara itu serta melanggar undang-undang antarabangsa termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Wisma Putra, serangan haram itu bukan sahaja menggugat keamanan dan kestabilan Qatar, malah boleh mencetuskan ancaman lebih besar terhadap keselamatan serantau serta dunia.
“Tindakan rejim Zionis ini akan memburukkan lagi ketegangan di rantau berkenaan dan membahayakan kestabilan bukan sahaja Qatar, tetapi seluruh kawasan sekitarnya.
“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB mengecam sekeras-kerasnya tindakan keganasan Israel serta memastikan rejim itu dipertanggungjawabkan,” kata kenyataan itu hari ini.
Malaysia dalam masa sama menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kedaulatan, keselamatan dan kestabilan Qatar, selain berdiri teguh bersolidariti dengan kerajaan serta rakyat negara berkenaan.
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri Qatar mengesahkan letupan di Legtaifiya, Doha berpunca daripada serangan udara Israel yang menyasarkan pejabat pemimpin Hamas.
Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkesan dalam kejadian itu, namun Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia di Qatar supaya berwaspada, mengelak kawasan berdekatan lokasi serangan serta mengikuti perkembangan terkini melalui sumber sahih pihak berkuasa tempatan.
Kerajaan Qatar dalam pada itu memberi jaminan keadaan di Doha terkawal sepenuhnya dan ruang udara negara berkenaan kekal dibuka. – UTUSAN










