Gaji naik, kuasa beli belum tentu meningkat

Gaji naik, kuasa beli belum tentu meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENAIKAN gaji minimum kepada RM2,000 sebulan berpotensi meningkatkan pendapatan pekerja berpendapatan rendah, namun manfaat itu dikhuatiri terhakis sekiranya kenaikan harga barangan dan perkhidmatan terus mendahului pertumbuhan gaji.

Peningkatan RM300 atau kira-kira 17.6 peratus daripada kadar semasa RM1,700 itu memberi harapan kepada golongan pekerja untuk menikmati ruang kewangan lebih besar bagi menampung perbelanjaan asas, termasuk makanan, perumahan dan pengangkutan.

Bagaimanapun, persoalan utama bukan sekadar berapa banyak gaji meningkat, sebaliknya sejauh mana pertambahan pendapatan itu benar-benar meningkatkan kuasa beli dan taraf hidup pekerja selepas mengambil kira inflasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penasihat Kanan Hubungan Kerajaan, Media dan Antarabangsa Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, kenaikan gaji secara nominal tidak semestinya membawa peningkatan kuasa beli sebenar sekiranya harga barangan dan perkhidmatan turut meningkat.

Menurutnya, keberkesanan dasar gaji minimum perlu diukur berdasarkan pertumbuhan pendapatan sebenar selepas mengambil kira inflasi dan kos sara hidup, bukannya semata-mata kadar kenaikan gaji yang diumumkan.

“Sekiranya sebahagian besar pendapatan tambahan digunakan untuk menampung peningkatan perbelanjaan asas, manfaat yang dinikmati pekerja mungkin lebih kecil daripada yang dijangkakan.

“Justeru, pelaksanaan dasar itu perlu disokong oleh langkah mengawal tekanan kos sara hidup, meningkatkan produktiviti dan merangsang pertumbuhan ekonomi supaya pekerja bukan sahaja menerima gaji lebih tinggi, malah menikmati taraf hidup yang lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Di sebalik manfaat kepada pekerja, kenaikan gaji minimum itu turut menimbulkan cabaran kepada majikan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mempunyai margin keuntungan terhad serta bergantung pada tenaga kerja yang ramai.

Syed Hussain berkata, keupayaan majikan menyerap peningkatan kos buruh berbeza mengikut sektor, saiz perniagaan, tahap produktiviti, margin keuntungan dan kedudukan kewangan syarikat.

Katanya, perniagaan yang bergantung pada tenaga kerja yang ramai dan mempunyai margin keuntungan rendah berkemungkinan berdepan tekanan lebih besar berbanding syarikat yang memiliki kedudukan kewangan kukuh serta tahap automasi lebih tinggi.

“Sebagai gambaran, syarikat yang menggaji 50 pekerja pada kadar gaji minimum perlu menyediakan tambahan peruntukan gaji pokok sebanyak RM15,000 sebulan atau RM180,000 setahun sekiranya semua pekerja terbabit menerima kenaikan RM300.

“Jumlah itu belum mengambil kira peningkatan caruman berkanun majikan serta kos berkaitan pekerjaan yang lain,” katanya.

Beliau berkata, tekanan kos berkenaan boleh mengehadkan keupayaan sesetengah syarikat untuk menyerap kenaikan gaji sepenuhnya tanpa membuat pelarasan terhadap operasi perniagaan.

Antara langkah yang mungkin diambil termasuk meningkatkan kecekapan, menyusun semula proses kerja, menangguhkan perbelanjaan tertentu atau melaraskan harga barangan dan perkhidmatan.

Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan sebahagian kos tambahan dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga, sekali gus mengurangkan sebahagian manfaat kenaikan gaji yang sepatutnya dinikmati pekerja.

Menurut Syed Hussain, kejayaan dasar gaji minimum tidak seharusnya dinilai berdasarkan peningkatan kadar gaji semata-mata, sebaliknya berdasarkan keupayaan pekerja menikmati pendapatan sebenar lebih tinggi, taraf hidup lebih baik dan peluang pekerjaan yang mampan.

Katanya, semakan kadar gaji minimum perlu mengambil kira inflasi, produktiviti, pertumbuhan ekonomi, kemampuan majikan dan keadaan pasaran buruh bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan daya tahan perniagaan.

Pada masa sama, usaha meningkatkan pelaburan produktif, membangunkan kemahiran pekerja dan menggalakkan perniagaan beralih kepada aktiviti bernilai tambah tinggi perlu diperkukuh supaya kenaikan gaji disokong oleh peningkatan keupayaan ekonomi.

“Gaji minimum sahaja tidak dapat menyelesaikan keseluruhan isu pendapatan dan kos sara hidup, terutama apabila perbelanjaan perumahan, pengangkutan dan keperluan asas terus membebankan isi rumah.

“Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 berpotensi meningkatkan kuasa beli rakyat, tetapi manfaatnya bergantung pada keupayaan ekonomi memastikan pertumbuhan pendapatan mengatasi kenaikan harga,” katanya.

Sehubungan itu, dasar berkenaan perlu disokong strategi menyeluruh yang bukan sahaja melindungi kebajikan pekerja, malah membantu majikan meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti.

Tanpa pertumbuhan produktiviti dan kawalan terhadap tekanan kos sara hidup, kenaikan gaji minimum berisiko hanya meningkatkan angka pendapatan di atas kertas tanpa memberikan perubahan setimpal terhadap kemampuan sebenar rakyat.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini