Dara, Amoi, Kelat perlu segera dibawa pulang

Dara, Amoi, Kelat perlu segera dibawa pulang

KEDAAN terkini tiga ekor gajah Malaysia yang berada di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini berada di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun perlu segera dibawa pulang oleh kerajaan Malaysia berikutan keadaan kesemua haiwan liar itu menjurus kepada gangguan mental dan tekanan perasaan.

Keadaan Kelat yang merupakan gajah jantan juga berada dalam keadaan tidak baik apabila didakwa mengalami kekerapan episod musth (fasa peningkatan hormon pembiakan) yang dianggap sebagai tidak lazim.

Gesaan tersebut turut dipersetujui oleh pakar gajah terkenal dunia, Dr. William Keith Lindsay dari Universiti Oxford, United Kingdom.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau juga telah menyediakan tiga laporan komprehensif agar Dara, Amoi dan Kelat dipulangkan segera ke Malaysia demi keselamatan serta kualiti hidup haiwan itu.

Aktivis Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia, Dr. Siti Rabiah Raws berkata, ke­tiga-tiga gajah itu dikesan menunjukkan tingkah laku stereotaip secara berulang seperti menggeleng atau mengayunkan kepala secara berlebihan.

“Tingkah laku ini merupakan petanda jelas berlakunya tekanan perasaan yang amat berat dan berkemungkinan mengalami gangguan mental zoochosis.

“Keadaan ini telah menimbulkan kebimbangan serius terhadap kesejahteraan psikologi mereka dan memerlukan penilaian profesional,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Tambahnya, Kelat dilaporkan mengalami enam hingga tujuh episod musth dalam tempoh tujuh bulan sejak tiba di zoo itu pada Mac 2026, satu keadaan yang disifatkannya luar biasa bagi seekor gajah jantan.

“Dr. Lindsay menjelaskan bahawa kekerapan episod musth sebegini tidak lazim kera­na gajah jantan biasanya mengalaminya sekali atau dua kali setahun sahaja.

“Kekerapan musth yang ber­ulang ini, ditambah dengan tindakan memisahkan Kelat daripada Dara dan Amoi secara berpanjangan membangkitkan persoalan serius mengenai tahap kebajikan serta syarat fasiliti penempatannya di zoo berkenaan.

“Kami percaya keadaan Kelat wajar diberi perhatian segera melalui penilaian vete­rinar bebas serta pemantauan rapi bagi memastikan kebaji­kannya tidak terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif menghantar dua orang stafnya ke Zoo Tennoji secara harian sejak April lalu untuk merakam dan merekodkan tingkah laku gajah-gajah tersebut.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Tuan Mohamed Akmal Dahalan ketika dihubungi enggan mengulas perkara tersebut.

Menurutnya, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keadaan tiga gajah tersebut apabila tiba masanya.

“Saya tidak boleh respon secara personal. Nanti bila tiba masanya, saya akan keluar statement rasmi untuk laporkan perkembangan DAK,” katanya.

Pada Ogos lalu, MPT menerusi kenyataan memaklumkan Kelat, Dara dan Amoi berada dalam keadaan sihat dan aktif serta dipantau secara berkala oleh penjaga haiwan dan pegawai veterinar Zoo Tennoji.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini