Dara, Amoi berhimpit cari tempat berteduh - Utusan Malaysia

Dara, Amoi berhimpit cari tempat berteduh

TANGKAP layar video siaran langsung memaparkan Dara dan Amoi mencari tempat teduh daripada bahang matahari di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persoalan mengenai kebajikan tiga gajah Malaysia di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun kembali tercetus selepas rakaman terbaharu memaparkan Dara dan Amoi berdiri berhimpit di bahagian tepi tembok kandang bagi mencari tempat teduh daripada bahang matahari.

Menerusi siaran langsung akaun TikTok, Cik Moji Isnin lalu, ia mencetuskan kebimbangan apabila wanita berkenaan sebak ketika mempersoalkan keadaan gajah Malaysia itu.

“Astaghfirullahalazim, kenapa buat macam ini dekat gajah kami?

“Macam neraka, tidak ada makanan, cuma gantung rumput itu. Tengok sendiri.

“Hasbunallah wa ni’mal wakil… panas (di Jepun),” katanya.

Rakaman berdurasi kira-kira 60 saat itu menunjukkan dua gajah tersebut berdiri di bahagian kandang yang terlindung cahaya matahari, ketika sebahagian besar kawasan lapang kelihatan terdedah kepada sinaran.

Rumput yang digantung turut kelihatan dalam kandang manakala kawasan teduh berbumbung atau bekas air tidak kelihatan dalam sudut rakaman berkenaan.

Bagaimanapun, rakaman itu tidak memaparkan keseluruhan kawasan kandang dan tidak dapat mengesahkan sama ada kemudahan teduhan, air atau sumber makanan lain disediakan di bahagian yang tidak dirakam.

Perkembangan terbaharu itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan awam terhadap nasib Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang dipindahkan dari Zoo Taiping & Night Safari, Perak ke Zoo Tennoji pada Mac lalu.

Ketiga-tiga gajah berkenaan ditempatkan di Jepun menerusi perjanjian kerjasama selama 25 tahun bagi tujuan konservasi, pembiakan dan penyelidikan.

Kebimbangan terhadap DAK sebelum ini turut memuncak selepas Kelat dilihat semakin susut dengan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mengesahkan gajah jantan itu kehilangan kira-kira 100 kilogram ketika melalui fasa musth sejak 18 Ogos lalu.

Susulan itu, aktivis dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak pemeriksaan kesihatan bebas dilakukan terhadap ketiga-tiga gajah berkenaan, selain menggesa mereka dibawa pulang ke Malaysia.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sebelum ini turut meminta Zoo Taiping & Night Safari memulakan rundingan dengan Zoo Tennoji bagi menilai mekanisme membawa pulang DAK.

Kementerian berpandangan pemulangan itu perlu dipertimbangkan secara serius sekiranya penempatan berkenaan tidak lagi selari dengan prinsip konservasi dan kebajikan hidupan liar.

Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, belum ada keputusan rasmi mengenai pemulangan DAK atau kenyataan pihak berkaitan berhubung rakaman terbaharu berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×