Jet pejuang AS kawal Selat Hormuz setiap malam - Utusan Malaysia

Jet pejuang AS kawal Selat Hormuz setiap malam

JET-jet pejuang Amerika Syarikat (AS) melakukan misi setiap malam di Selat Hormuz. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Jet-jet pejuang tentera Amerika Syarikat (AS) menja­lankan misi setiap malam di ruang udara Selat Hormuz yang didakwa Iran berada di dalam kawalannya selepas Teheran menutup laluan maritim itu sejak perang Asia Barat tercetus pada 28 Februari.

Operasi itu dilakukan ketika tentera AS berusaha menguatkuasakan sekatan terhadap pe­labuhan Iran di sepanjang laluan perairan berkenaan dan melindungi kapal komersial yang berisiko terkena bedilan peluru berpandu Iran.

Beberapa juruterbang dan kru udara di atas kapal pengangkut pesawat USS George Washington, yang ditempatkan di rantau itu sejak Ogos lalu, berkongsi dengan akhbar Wall Street Journal mengenai operasi harian kapal perang berkenaan dan usaha mempertahankan Selat Hormuz sepanjang masa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ruang udara di atas laluan perairan itu selebar kira-kira 32 kilometer lebar tetapi dipenuhi pelbagai objek udara, menurut anggota tentera AS kepada akhbar itu, sekali gus menyebabkan juruterbang jet pejuang mempunyai tempoh singkat untuk bertindak balas terhadap sebarang peluru berpandu yang dilancarkan dari pesisir pantai Iran.

Laksamana Muda Jeffrey Heames, yang mengetuai Kumpulan Serangan Kapal Pengangkut Pesawat USS George Washing­ton, memberitahu akhbar itu bahawa pasukan tentera AS berjaya memintas dan memusnahkan ancaman terhadap kapal komersial di rantau itu secara konsisten.

“Jika terdapat ancaman yang dilancarkan terhadap kapal-kapal berkenaan, sama ada peluru berpandu antikapal atau dron, pesawat tentera akan segera bertindak memintas dan menembak jatuh ancaman itu dalam tempoh yang amat singkat,” katanya.

Menurut Markas Pusat Ame­rika Syarikat (CENTCOM), perlindungan yang disediakan Ten­tera Laut AS membolehkan negara-negara Teluk mengeksport lebih 1.5 bilion tong mi­nyak mentah sejak musim panas lalu.

Dalam tempoh enam bulan lalu, lebih 3,000 kapal komersial berjaya melalui Selat Hormuz tanpa sebarang insiden.

Dalam kenyataan video yang disiarkan di X  pada Jumaat, Ketua CENTCOM, Laksamana Brad Cooper, menjelaskan bahawa Iran tidak dapat mengeksport sebarang minyak sejak sekatan itu dikuatkuasakan.

Walaupun operasi yang dija­lan­kan setiap malam itu berjaya, pegawai AS yang mengetahui misi berkenaan memberitahu akhbar itu bahawa kekerapan pe­nerbangan operasi telah mem­beri tekanan kepada pesa­wat, anggota kru dan mekanik yang bertanggungjawab menyelenggara jet pejuang.

Menurut akhbar itu lagi, AS kini menempatkan 50,000 askar dan 20 kapal di Asia Barat, de­ngan kos antara AS$2bilion (RM8 bilion) hingga AS$3 bilion (RM12 bilion)  sebulan bagi menampung perbelanjaan peluru, bahan api, bekalan dan keperluan lain untuk mengekalkan kehadiran serta operasi ketenteraannya di rantau itu.

Bagaimanapun, dalam minggu ini, beberapa insiden berlaku melibatkan  kapal dagang terbakar kerana terlanggar periuk api di Selat Hormuz disebabkan melalui laluan tidak dibenarkan oleh Iran.

Iran mengarahkan semua ka­pal menggunakan laluan yang ditetapkan melalui selat berkenaan dan  menyelaraskan perjalanan dengan angkatan tenteranya. Teheran turut menganggap koridor selatan yang lebih hampir dengan pesisir Oman sebagai laluan yang tidak dibenarkan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini