Arsenal mahu 'padam' badi Anfield

Arsenal mahu ‘padam’ badi Anfield

TONGGAK tengah Arsenal, Declan Rice (kiri) kembali menjalani latihan bersama pasukan selepas direhatkan akibat kecederaan semasa menentang Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Arsenal menerima suntikan semangat menjelang pertembungan menentang Liverpool di Anfield, awal pagi esok apabila Declan Rice dan Riccardo Calafiori kembali menjalani latihan, sekali gus meningkatkan pilihan pemain buat pengendalinya, Mikel Arteta.

Kepulangan dua tonggak itu hadir tepat pada masanya ketika Arsenal memburu kemenangan penting dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), bagi meneruskan cabaran memburu kedudukan teratas liga.

Arteta mengesahkan Rice dan Calafiori sudah kembali menjalani latihan selepas terlepas aksi menentang Fleetwood susulan masalah kecederaan yang dialami ketika kemenangan ke atas Everton dalam saingan liga, hujung minggu lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, Arsenal masih belum dapat menggunakan khidmat Bukayo Saka yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan paha ketika berdepan Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara pada 21 Oktober lalu.

“Dia (Saka) perlu menjalani satu lagi imbasan untuk melihat sejauh mana pengumpulan cecair itu sudah berkurangan. Selepas itu, barulah kami mengetahui perkembangan lanjut,” kata Arteta.

Ketiadaan Saka pastinya menjadi perhatian, namun perkembangan positif membabitkan Rice dan Calafiori memberikan pilihan tambahan kepada Arteta untuk merangka strategi terbaik bagi menghadapi cabaran Liverpool di laman sendiri.

Pertembungan itu, turut menemukan Arteta dengan pengendali Liverpool, Andoni Iraola, yang pernah menjadi rakan sepasukannya ketika mereka beraksi dalam pasukan remaja Antiguoko di San Sebastian, wilayah Basque.

Arteta menyifatkan pertemuan itu sebagai sesuatu yang istimewa, terutama apabila kedua-duanya kini mengemudi kelab besar dalam saingan bola sepak England dan Eropah.

“Ia satu keistimewaan. Dia seseorang yang pernah menjadi rakan sepasukan dan kami berkongsi banyak kenangan indah ketika muda.

“Kini kami bertemu sebagai pengendali dua kelab besar di negara ini dan Eropah dalam perlawanan penting. Ia satu keberkatan,” ujarnya.

Arsenal turut membawa misi besar bagi menamatkan penantian panjang untuk mencatat kemenangan di Anfield, dengan kejayaan terakhir mereka di gelanggang Liverpool itu pada September 2012. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini