PETALING JAYA: Seramai 130 rakyat Malaysia yang ditahan di Pakistan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan siber berkemungkinan perlu menjalani proses perundangan di negara berkenaan.
Bagaimanapun, status sama ada mereka merupakan mangsa eksploitasi atau terlibat secara langsung dalam kegiatan penipuan siber itu masih belum dipastikan memandangkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa Pakistan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkemungkinan dihantar ke negara berkenaan bagi mendapatkan maklumat lebih jelas.
Katanya, pihaknya masih berhubung dengan pihak berkuasa Pakistan melalui Kementerian Luar bagi mendapatkan butiran lengkap mengenai penahanan berkenaan.
Perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk tindakan susulan.
“Setakat ini, kita dimaklumkan seramai 130 rakyat Malaysia ditahan di sana. Ada antara mereka yang mempunyai visa dan ada juga yang visanya sudah tamat tempoh.
“Kerajaan Pakistan memberikan kerjasama sebaik mungkin bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan baik. Kita masih memerlukan bantuan pihak berkuasa negara itu untuk mendapatkan segala butiran berkaitan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang anjuran Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) di sebuah hotel di ibu negara.
Mohd. Khalid berkata, pihaknya sudah meminta JSJK meneruskan hubungan dengan pihak berkuasa Pakistan dan tidak menolak kemungkinan menghantar pegawai ke negara itu.
“Kita masih menunggu butiran lanjut dan berkemungkinan menghantar pegawai ke sana bagi mendapatkan maklumat sepenuhnya,” katanya.
Mengenai identiti individu yang ditahan, beliau berkata, PDRM belum menerima senarai lengkap daripada pihak berkuasa Pakistan. Bagaimanapun, mereka dimaklumkan sebagai pemegang pasport Malaysia dan terdiri daripada pelbagai kaum.
Terdahulu, media Pakistan melaporkan Agensi Siasatan Jenayah Siber Kebangsaan (NCCIA) menyerbu sebuah pusat panggilan di KASA Tower, Rawalpindi, yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan siber terhadap rakyat Malaysia.
Menurut portal ProPakistani, sindiket itu dipercayai menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan bank sebelum menyambungkan panggilan kepada individu lain yang menyamar sebagai polis Malaysia.
Suspek didakwa memakai seragam polis dan menggunakan latar belakang menyerupai pejabat ketika membuat panggilan video bagi meyakinkan mangsa.
Mangsa kemudian diugut dengan dakwaan terbabit dalam pengubahan wang haram sebelum didesak memindahkan wang melalui Touch ‘n Go eWallet untuk ditukar kepada mata wang kripto.
Sindiket itu dipercayai dikendalikan oleh rakyat Malaysia yang berada di Kemboja dengan bantuan pihak pengurusan pusat panggilan di Pakistan. – UTUSAN











