Zahid yakin ‘gelombang biru’ tawan Melaka

Zahid yakin ‘gelombang biru’ tawan Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Barisan Nasional (BN) yakin ‘gelombang biru’ akan terus melingkungi seluruh Melaka sekali gus membolehkan gabungan itu membentuk semula kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada sokongan rakyat serta pres­tasi kerajaan negeri pimpinan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Dr. Ab. Rauf Yusoh sepanjang menerajui negeri berkenaan.

Menurut beliau, BN turut menampilkan kesepakatan ku­kuh apabila UMNO, MCA dan MIC bersama-sama mengambil bahagian dalam pertandi­ngan membabitkan kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka termasuk kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN).

Memuatkan artikel berkaitan…

“UMNO bertanding 18 kerusi, MCA empat kerusi dan MIC satu kerusi, manakala selebihnya ditandingi rakan-rakan strategik kita.

“Ini merupakan manifestasi kebersamaan. Ramai menjangkakan kononnya MCA mahu memboikot PRN Melaka atau sekurang-kurangnya merajuk, tetapi perkara itu tidak berlaku.

“Sebaliknya, MCA diberikan empat kerusi dan kita mahu pengundi di Melaka melihat kepada prestasi kerajaan ne­geri yang dipimpin oleh Datuk Seri Utama Dr. Ab. Rauf Yusoh,” katanya ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon (PPC) sempena PRN Melaka di Dewan Datuk Kapt. (B) Haji Ab. Karim, Japerun Tanjung Bidara di sini, semalam.

Ahmad Zahid hadir mengi­ringi Ab. Rauf bagi mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara apabila berdepan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH) Yunazri Mustamiri yang juga Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Masjid Tanah.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menjelaskan penggunaan gelaran ‘Dr.’ pada nama Ab. Rauf adalah berikutan pengesahan daripada Senat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bahawa Ketua Menteri Melaka itu bakal menerima Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA).

Beliau berkata, pengesahan tersebut sekali gus menjadikan penggunaan gelaran berkenaan sah mengikut peraturan dan undang-undang berkaitan.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, kelayakan akademik bukanlah kriteria utama dalam menentukan sokongan rakyat, sebaliknya prestasi kepimpinan dan keupayaan kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat lebih penting.

Mengulas perjalanan kempen PRN Melaka, beliau berharap pilihan raya kali ini berlangsung dalam suasana tenang tanpa dicemari fitnah serta serangan peribadi. –MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini