Pengurusan Zoo Tennoji kongsi pengalaman jaga gajah Malaysia

Pengurusan Zoo Tennoji kongsi pengalaman jaga gajah Malaysia, DAK miliki keunikan karakter

TIGA ekor gajah negara, iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini berada di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun perlu segera dibawa balik dan ditempatkan di PKGK Kuala Gandah, Pahang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketiga-tiga gajah dari Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) memiliki keunikan karakter tersendiri yang memberi pengalaman baharu kepada penjaganya.

Pihak pengurusan Zoo Tennoji di Osaka, Jepun berkata, sebagai contoh, Kelat mempunyai personaliti yang kuat dengan sifat tegas, namun pada masa sama sangat penyayang dan bergantung kepada penjaga.

Walaupun gajah Asia jantan lazimnya hidup bersendirian apabila dewasa, Kelat menunjukkan kecenderungan untuk sentiasa berada berhampiran dua gajah betina tersebut.

“Kesemua gajah kini ditempatkan bersama di kemudahan ‘Elephant Home’ yang sebelum ini direka khusus untuk gajah betina.

“Susunan penempatan haiwan itu akan disesuaikan mengikut tingkah laku mereka, sama ada ditempatkan bersama atau dipisahkan pada waktu tertentu sepanjang hari,” katanya.

Dalam pada itu, Dara pula digambarkan sebagai gajah yang berhati-hati dan bertanggungjawab dengan sering memerhati persekitaran serta perubahan tingkah laku penjaga.

Malah, Dara turut menunjukkan sifat pelindung terhadap Amoi dengan memastikan gajah muda itu sentiasa berada dalam keadaan selamat dan peka dengankeadaan sekeliling.

Walaupun kelihatan tenang, Dara didapati lebih mesra dan bergantung kepada penjaga dari Malaysia, sekali gus menunjukkan proses penyesuaian dengan persekitaran baharu masih berjalan.

Amoi, yang paling muda antara ketiga-tiga gajah itu, turut melalui proses penyesuaian yang sama.

Dalam pada itu, pihak zoo mengakui fasa peralihan ini merupakan tempoh pembelajaran bagi kedua-dua pihak, iaitu gajah dan penjaga, selain memberi jaminan bahawa kebajikan haiwan tersebut terus menjadi keutamaan.

Menariknya, pada malam pertama ditempatkan bersama, ketiga-tiga gajah itu dilihat berbaring dan tidur bersebelahan antara satu sama lain.

Katanya, ia tingkah laku yang jarang berlaku kerana gajah lazimnya tidur dalam keadaan berdiri dan hanya berbaring apabila berasa selamat.

Pihak pengurusan zoo menyifatkan detik tersebut menyentuh perasaan kerana ia mencerminkan tahap kepercayaan dan keselesaan tinggi antara haiwan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kehadiran Kelat kadangkala mengganggu tidur dua gajah betina itu, menyebabkan penjaganya menyesuaikan semula susunan dengan menempatkan Kelat di ruang bersebelahan yang masih membolehkan sentuhan fizikal.

“Dara dan Amoi masih kerap berehat bersama, sekaligus menjadi petanda positif terhadap proses penyesuaian mereka di persekitaran baharu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN