Orang Asli mahu bina semula sekatan di Pos Simpor

Orang Asli mahu bina semula sekatan di Pos Simpor

MASYARAKAT Orang Asli mahu membina semula sekatan di simpang Bereglag dan Cerkep, Pos Simpor, Gua Musang, Kelantan yang telah dirobohkan. - IHSAN PENDUDUK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli Pos Simpor mahu membina semula sekatan di simpang Bereglag dan Cerkep di sini, yang dirobohkan kelmarin kerana bertekad mempertahankan tanah dan wilayah adat mereka daripada aktiviti pembalakan.

Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Tanah dan Wilayah Adat Pos Simpor, Nur Mohd. Syafiq Dendi Abdullah berkata, sekatan itu akan didirikan di kawasan yang sama.

“Kami belum tetapkan tarikh untuk pembinaan semula sekatan tersebut tetapi sudah bertekad berbuat denikiian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nur Mohd. Syafiq berkata, pihaknya mendesak Kerajaan Negeri Kelantan menghentikan segera segala proses kelulusan dan pemberian kebenaran kepada mana-mana syarikat pembalakan yang beroperasi di kawasan tanah adat mereka.

Katanya, sebarang kelulusan baharu yang dibekukan itu perlu melalui rundingan yang adil dan telus bersama komuniti Orang Asli.

“Hak tanah adat kami dihormati dan diiktiraf sepenuhnya oleh pihak kerajaan. Kami berharap Kerajaan Negeri Kelantan dapat mengambil tindakan segera demi menjaga kepentingan rakyat serta kelestarian alam sekitar.

“Aktiviti pembalakan yang berterusan bukan sahaja mengancam kelestarian alam sekitar, malah menjejaskan kehidupan harian komuniti kami yang bergantung kepada hutan sebagai sumber rezeki, tempat tinggal, serta warisan turun-temurun,” ujarnya.

Semalam, akhbar ini melaporkan, sekatan di simpang Bereglag dan Cerkep yang dibina oleh masyarakat Orang Asli sebagai tindakan mempertahankan tanah dan wilayah adat mereka daripada aktiviti pembalakan, dirobohkan pada hari kesembilan.

Sekatan yang bermula 27 April lalu melibatkan 39 penduduk itu dirobohkan Jabatan Perhutanan bersama agensi lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN