SINGAPURA: Tiga usahawan muda di Singapura berjaya mengubah kuih tradisional karipap menjadi sebuah perniagaan bernilai SGD500,000 (RM1.55 juta) dalam pendapatan tahunan hasil sentuhan moden terhadap resipi klasik tersebut.
Dua beradik, Lim Yuan Ming, 23, dan Brandon Lim, 29, bekerjasama dengan rakan mereka, Oh Chin Jie, 31, untuk melancarkan jenama What The Puff pada Disember 2024.
Sejak itu, perniagaan tersebut berkembang pesat daripada sebuah gerai kecil kepada tiga cawangan penjaja di sekitar republik tersebut.
Menurut laporan The Straits Times, perniagaan mereka kini menghasilkan kira-kira 1,500 biji karipap setiap hari dengan menawarkan perisa unik seperti keju.
Strategi inovasi ini membuahkan hasil apabila mereka berjaya menjana pendapatan kasar mencecah RM1. 5 juta pada tahun 2025.
Inspirasi untuk mengolah semula hidangan kegemaran ramai ini tercetus daripada pengalaman ibu bapa mereka yang merupakan pengusaha gerai makanan sebelum ini.
“Kami melihat kesukaran yang mereka hadapi, terpaksa memasak lebih 20 jenis hidangan setiap hari dan bekerja tanpa henti dari awal pagi hingga petang,” kata Ming.
Disebabkan itu, mereka memilih karipap kerana ia dianggap sebagai produk yang lebih mudah untuk difokuskan. Bapa mereka mencadangkan agar mereka bereksperimen dengan perisa baharu termasuk versi inti keju.
Bagi memastikan kualiti produk berada pada tahap terbaik, Jie yang merupakan bekas tukang masak rangkaian makanan mengetuai pembangunan resipi. Lim pula menguruskan operasi manakala adiknya mengendalikan urusan pentadbiran dan hubungan pembekal. – AGENSI










