SHAH ALAM: Dewan di-Raja Selangor menyanggah dakwaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kepentingan politik ketika bertitah atau memberi nasihat kepada kerajaan negeri.
Malah, baginda juga tidak mencampuri urusan kerajaan negeri susulan titah baginda pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 pada 20 April lalu.
Ahli-Ahlinya dalam satu kenyataan berkata, titah baginda dalam istiadat tersebut adalah selaras dengan konteks bagi negeri ini apabila Menteri Besar dikehendaki berunding dengan Sultan Selangor dalam segala hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri.
Menurutnya, rundingan membawa maksud Sultan Selangor mempunyai hak untuk diberi sembah maklum oleh Menteri Besar mengenai urusan pentadbiran negeri bagi membolehkan baginda mengetahui perkara yang berlaku dan memberi nasihat sebelum sesuatu keputusan mengenainya dimuktamadkan.
“Ahli-ahli Dewan di-Raja ingin membetulkan persepsi salah dan menegaskan titah Sultan Selangor adalah selari dengan peranan seorang raja di dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan.
“Titah adalah penggunaan ‘bahasa istana’ untuk ucapan seorang raja atau sultan yang bermaksud nasihat dalam bahasa harian. Titah baginda adalah bagi memastikan kerajaan negeri bertepatan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam pemerintahannya,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, malah pandangan dan nasihat oleh Sultan Selangor adalah berdasarkan kepentingan rakyat tanpa dipengaruhi oleh kepentingan politik bagi memastikan pentadbiran negeri dijalankan dengan penuh tanggungjawab.
April lalu, Sultan Sharafuddin bertitah dalam mesyuarat pertama Sidang DUN Selangor memberi teguran kepada kerajaan negeri berkenaan pengurusan banjir selain menegaskan larangan membina ladang babi berikutan kesan kepada penduduk setempat dan alam sekitar.
Jelas kenyataan sama, Sultan Selangor kerap menerima aduan daripada rakyat tentang masalah banjir, kutipan sampah, jalan berlubang dan sebagainya.
“Aduan-aduan yang disampaikan kepada baginda oleh pengadu bukan surat layang, kerana pengadu menyertakan nama, alamat dan nombor telefon bagi membuktikan mereka benar-benar terdesak mahukan baginda menegur kerajaan negeri,” ujarnya.
Malah, tegasnya lagi, Sultan Selangor akan terus bertindak sebagai satu kuasa semak dan imbang terhadap pihak eksekutif untuk memastikan kepentingan rakyat sentiasa terjaga dan terpelihara.
“Ahli-ahli Dewan di-Raja yakin Sultan Sharafuddin mempunyai pengalaman memerintah selama 25 tahun sebagai Sultan Selangor dan 33 tahun sebagai Raja Muda, amat memahami dan mendalami peranan baginda bengikut undang-undang selaras sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan,” jelasnya. – UTUSAN










