Serpihan gading Kelat tertanggal secara semula jadi

Serpihan gading Kelat tertanggal secara semula jadi

KELAT bersama mahut, Ali Gadong di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Gajah jantan Malaysia iaitu Kelat, yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun, berada dalam keadaan stabil dan sihat sekali gus menolak pelbagai spekulasi yang tular berhubung tahap kesihatan haiwan berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan berkata, perubahan tingkah laku terhadap Kelat ketika ini adalah berkait dengan fasa musth atau ‘turun minyak’ iaitu keadaan biologi semula jadi yang lazim dialami gajah jantan matang.

Katanya, dalam tempoh berkenaan, peningkatan hormon testosteron boleh menyebabkan Kelat menjadi lebih aktif, sensitif atau agresif berbanding kebiasaan.

“Keadaan itu adalah normal dan sentiasa berada dalam pemantauan rapi penjaga zoo serta pegawai veterinar.

“Sepanjang tempoh musth, beberapa langkah pengurusan khas dilaksanakan termasuk pemantauan tingkah laku harian, pemeriksaan fizikal berkala, pengasingan terkawal serta pemantauan pengambilan makanan, air dan output najis dan urin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Akmal turut menafikan dakwaan kononnya Kelat mengalami masalah mata, sebaliknya menjelaskan perubahan yang kelihatan pada bahagian mata haiwan itu berpunca daripada perubahan fisiologi semasa fasa musth, khususnya pembengkakan pada temporal gland.

Dalam masa sama, beliau berkata dakwaan kononnya berlaku aktiviti force breeding terhadap Kelat juga adalah tidak benar dan perkara itu sama sekali tidak dibenarkan berdasarkan syarat yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman (MoU) antara pihak terlibat.

“Pihak Tennoji Zoo turut memaklumkan serpihan gading milik Kelat yang ditemui di dalam kawasan kurungannya dipercayai tertanggal secara semula jadi akibat penggunaan harian.

“Hasil pemeriksaan veterinar mendapati tiada kecederaan serius atau pendarahan berlaku dan keadaan Kelat kekal stabil,” katanya.

Sementara itu, dua lagi gajah Malaysia di zoo berkenaan iaitu Dara dan Amoi turut berada dalam keadaan baik dengan pemantauan kesihatan, pemakanan serta aktiviti harian dijalankan secara berterusan.

Katanya, MPT akan terus bekerjasama rapat dengan Tennoji Zoo dan pihak berkaitan bagi memastikan tahap kebajikan, kesihatan dan pengurusan semua gajah Malaysia berada pada tahap terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN