MPT nafi Kelat sakit mata

MPT nafi Kelat sakit mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Dakwaan gajah jantan bernama Kelat mengalami masalah ocular atau sakit mata seperti tular di media sosial adalah tidak tepat, sebaliknya keadaan itu berpunca daripada perubahan hormon dan pembengkakan kelenjar temporal ketika fasa musth atau ‘turun minyak’.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Mohamed Akmal Dahalan berkata, perubahan tingkah laku dan fizikal ditunjukkan Kelat ketika ini adalah keadaan biologi semula jadi yang lazim dialami gajah jantan matang.

Katanya, peningkatan hormon testosteron ketika fasa tersebut boleh menyebabkan Kelat menjadi lebih aktif, sensitif dan agresif berbanding kebiasaan. Katanya, keadaan itu bagaimanapun sentiasa berada dalam pemantauan rapi penjaga zoo serta pegawai veterinar.

“Sepanjang tempoh musth, beberapa langkah pengurusan khas dilaksanakan termasuk pemantauan tingkah laku harian, pemeriksaan fizikal berkala, pengasingan terkawal serta pemantauan pengambilan makanan, air dan output najis serta urin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana keadaan Kelat terkawal dan pihak zoo sentiasa memastikan tahap kesihatan haiwan itu berada dalam keadaan baik.

Katanya, pihak Zoo Tennoji turut memaklumkan serpihan gading milik Kelat yang ditemukan di dalam kawasan kurungannya dipercayai tertanggal secara semula jadi akibat penggunaan harian.

“Hasil pemeriksaan veterinar mendapati tiada kecederaan serius atau pendarahan berlaku dan keadaan Kelat kekal stabil,” katanya.

Dua lagi gajah Malaysia di zoo berkenaan iaitu Dara dan Amoi turut berada dalam keadaan baik dengan pemantauan kesihatan, pemakanan serta aktiviti harian dijalankan secara berterusan.

Katanya, MPT akan terus bekerjasama rapat dengan Tennoji Zoo serta pihak berkaitan bagi memastikan tahap kebajikan, kesihatan dan pengurusan semua gajah Malaysia sentiasa berada pada tahap terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN