TAIPING: Program kerjasama konservasi melibatkan pemindahan tiga gajah Malaysia ke zoo di Jepun tidak melibatkan sebarang unsur komersial, urusan jual beli mahupun bayaran antara pihak yang terlibat.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Mohamed Akmal Dahalan berkata, dakwaan pemindahan Dara, Amoi dan Kelat merupakan transaksi perniagaan atau konsep ‘business to business’ tidak benar.
Menurut beliau, perjanjian yang dimeterai merupakan kerjasama ‘zoo to zoo’ antara Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) dengan Tennoji Zoo, Osaka, Jepun yang berteraskan agenda konservasi hidupan liar dan bukannya keuntungan komersial.
“MPT ingin menegaskan bahawa perjanjian di antara ZTNS dan TZO ini adalah perjanjian di antara dua buah zoo atau ‘zoo to zoo’.
“Tiada sebarang unsur komersial yang melibatkan urusan jual beli atau apa-apa bayaran di antara kedua-dua pihak dalam perjanjian ini.
“Penggunaan terma B2B adalah tidak bertepatan dengan semangat perjanjian yang telah dimeterai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MPT berkata, pihaknya memahami kebimbangan dan keresahan masyarakat yang mengikuti rapat perkembangan Dara, Amoi dan Kelat yang bukan sekadar penghuni Zoo Taiping, malah sudah lama dekat di hati rakyat Malaysia.
Jelasnya, program konservasi antarabangsa tersebut bukan dilakukan secara tergesa-gesa.
Sebaliknya, ia telah melalui setiap prosedur, penilaian teknikal, dokumentasi serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Sebelum penghantaran ketiga-tiga gajah itu dilakukan, satu lawatan rasmi telah diadakan ke Osaka, Jepun pada 6 hingga 10 Oktober 2022 melibatkan wakil MPT, Zoo Taiping & Night Safari serta Perhilitan.
“Ini bagi menilai sendiri tahap kesediaan fasiliti, kemudahan sedia ada serta keperluan penambahbaikan di Tennoji Zoo.
“Lawatan tersebut bagi memastikan habitat, ruang penjagaan, aspek keselamatan dan standard kebajikan haiwan benar-benar memenuhi syarat minimum yang ditetapkan sebelum sebarang penghantaran boleh dilaksanakan,” katanya.
MPT menjelaskan semua dokumentasi penting termasuk permohonan sumbangan gajah, permit khas penyimpanan, urusan saintifik serta permohonan eksport kepada pihak berkuasa berkaitan telah dikemukakan dan memperoleh kelulusan sewajarnya terlebih dahulu.
Pada masa sama, MPT menegaskan pihaknya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan sentiasa bersikap terbuka terhadap sebarang semakan atau siasatan.
“Ini termasuk memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat keperluan berhubung keseluruhan program kerjasama tersebut,” katanya. – UTUSAN








