PETALING JAYA : Pelakon, Chacha Maembong, 30, meluahkan rasa sedih apabila golongan orang kurang upaya (OKU) didakwa berdepan layanan tidak sewajarnya daripada pemandu perkhidmatan E-hailing menerusi sebuah video yang tular di media sosial.
Menurut Chacha, isu itu begitu dekat dengan dirinya memandangkan abangnya sendiri merupakan individu OKU yang berulang kali berdepan pengalaman ditinggalkan pemandu ketika menuju ke lokasi pengambilan penumpang.
“Perkara ini amat menyedihkan untuk dilihat kerana abang saya sendiri juga merupakan seorang OKU, dan dia telah melalui pengalaman seperti ini berkali-kali.
“Abang saya akan berusaha menuju ke lokasi pengambilan penumpang, tetapi pemandu meninggalkannya sebaik sahaja melihat dia menghampiri kenderaan. Malah, pernah juga berlaku keadaan di mana dia terjatuh,” katanya di Threads hari ini.
Selain itu, Chacha berkata, golongan OKU juga mempunyai perasaan dan wajar dilayan dengan penuh hormat, apatah lagi apabila mereka hanya mahu menggunakan perkhidmatan berkenaan untuk sampai ke destinasi seperti orang lain.
“Golongan OKU juga mempunyai perasaan. Bayangkan betapa terhinanya dan hancur luluhnya hati mereka apabila diperlakukan sedemikian, sedangkan apa yang mereka mahukan hanyalah untuk sampai ke destinasi seperti orang lain.
“Jika anda tidak dapat mengambil seseorang penumpang, berterus teranglah dan maklumkan perkara tersebut. Jangan biarkan mereka bersusah payah mengejar kereta atau meletakkan diri mereka dalam keadaan yang berisiko sehingga boleh menyebabkan kecederaan,” katanya.
Sehubungan itu, Chacha menggesa semua pihak supaya lebih prihatin terhadap keperluan golongan OKU, selain menegaskan isu berkenaan perlu diberikan perhatian serius oleh penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab.
“Kita perlu menjadi manusia yang lebih baik dan lebih prihatin. Pihak Grab, perkara ini perlu dipandang serius. Kemudahan akses dan layanan yang sama rata tidak sepatutnya dianggap sebagai satu keistimewaan. Setiap individu berhak dilayan dengan penuh maruah, rasa hormat dan kebaikan,” katanya.











