PETALING JAYA: Had umur minimum untuk mengambil lesen motosikal perlu dinaikkan kepada 18 tahun selaras dengan usaha membendung masalah kegiatan lumba haram dalam kalangan bawah umur.
Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Wong Shaw Voon berkata, isu penunggang motosikal bawah umur perlu diberi perhatian serius memandangkan terdapat kanak-kanak seawal usia 12 tahun sudah menunggang motosikal tanpa lesen.
Katanya, golongan itu merangkumi pelajar sekolah menengah, malah sekolah rendah yang terdedah kepada risiko kemalangan dan terlibat dalam kegiatan lumba haram.
“Realitinya di lapangan ketika ini, ramai kanak-kanak bawah umur, daripada pelajar sekolah menengah hingga sekolah rendah, sudah mula menunggang motosikal tanpa lesen seawal usia 12 tahun.
“Justeru, had umur minimum untuk mendapatkan lesen motosikal perlu dinaikkan kepada 18 tahun bagi membantu membendung kegiatan lumba haram dalam kalangan belia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini kelmarin melaporkan, perbuatan merempit atau lumba haram, termasuk menunggang motosikal secara melulu kini menjadi kesalahan jalan raya yang boleh didenda sehingga RM10,000 apabila Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 mula berkuat kuasa kelmarin.
Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) itu turut bertujuan membendung aktiviti sindiket ‘tonto’, selain memperkukuh penguatkuasaan serta pendigitalan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan.
Namun Shaw Voon berkata, cadangan menaikkan had umur sama ada kepada 18 atau 21 tahun merupakan satu langkah yang baik, namun ia tidak akan memberi impak berkesan sekiranya golongan yang tidak mengendahkan undang-undang dibiarkan tanpa tindakan.
Beliau berkata, semua pihak termasuk ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing dan tidak menyerahkan tanggungjawab tersebut sepenuhnya kepada pihak kerajaan.
“Ramai kanak-kanak bawah umur merangkumi pelajar sekolah menengah hingga sekolah rendah sudah mula menunggang motosikal tanpa lesen seawal usia 12 tahun.
“Golongan ini tidak pernah peduli sama ada had umur dinaikkan atau tidak kerana mereka memang menunggang secara haram. Jika kumpulan ini tidak ditangani terlebih dahulu, sebarang pindaan umur tidak akan membawa apa-apa hasil.
“Perbuatan melanggar undang-undang seawal usia muda ini amat membimbangkan kerana ia menghakis rasa hormat golongan terbabit terhadap undang-undang serta pihak berkuasa,” katanya.
Selain itu, Presiden Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik Malaysia (CILTM), Prof. Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein berkata, cadangan menaikkan had umur minimum mendapatkan lesen motosikal daripada 16 tahun wajar dikaji berasaskan data pelaku merempit sebelum dianggap sebagai penyelesaian utama kepada kegiatan itu.
“Kenaikan had usia berpotensi mengurangkan pendedahan penunggang muda kepada risiko jalan raya jika mereka mematuhinya. Tetapi pengurangan kemalangan dan pengurangan kegiatan merempit ialah dua hasil yang perlu dinilai secara berasingan.
“Sebab itu, kita memerlukan data pelaku sebelum menentukan sejauh mana langkah ini dapat membantu. Kita belum mempunyai asas yang mencukupi untuk menjanjikan peratus pengurangan tertentu,” katanya.
Katanya, sebarang kenaikan had umur perlu disertai bukti bahawa manfaat keselamatannya melebihi kesan terhadap akses pendidikan.










