Kemuka dokumen palsu: Bekas KP Miros dilarang akses pejabat - Utusan Malaysia

Kemuka dokumen palsu: Bekas KP Miros dilarang akses pejabat

Miros
KHAIRIL Anwar Abu Kassim tiba di Mahkamah Sesyen bagi menghadapi empat pertuduhan pemalsuan dokumen, di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pegawai Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros) dilarang daripada mengakses komputer dan sebarang dokumen di pejabatnya selepas dituduh atas empat pertuduhan mengemukakan sebut harga palsu pada 24 Julai 2017.

Tertuduh, Datuk Khairil Anwar Abu Kassim diperintahkan demikian oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini apabila mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud mengenakan syarat tersebut selepas pihak pendakwaan memaklumkan saksi-saksi yang akan dikemukakan ke mahkamah adalah terdiri dari kalangan kakitangan di Miros.

Malah, beliau turut melarang tertuduh yang juga merupakan bekas Ketua Pengarah Miros itu tidak berhubung dengan mana-mana saksi sama ada secara langsung atau tidak melalui apa-apa cara sekali pun.

“Tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa dan terhad (jika memilikinya) kepada mahkamah dan melapor diri di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada hari pertama bekerja tiap-tiap bulan,” katanya hari ini.

Terdahulu, Khairil Anwar, 47, dituduh memalsukan dokumen sebut harga daripada empat buah syarikat yang bertujuan untuk pembekalan 16 buah kereta terdiri daripada model Suzuki Carry dan Cherry Transcab dari Thailand.

Kereta tersebut dikatakan untuk dihantar ke Makmal Ujian Pelanggaran Miros di Ayer Keroh, Melaka, dengan niat supaya dokumen palsu tersebut digunakan untuk menipu. Kesalahan didakwa dilakukan dekat sebuah premis di Tamang Kajang Sentral, Kajang pada 24 Julai 2017.

Justeru, beliau dituduh di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry mencadangkan supaya tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 apabila menjelaskan kesalahan dilakukan Khairil Anwar sebagai tidak boleh ditawarkan demikian.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Datuk Geethan Ram Vincent memohon jaminan dikurangkan kerana ia hanyalah untuk memastikan kehadiran anak guamnya sehingga perbicaraan selesai dan tidak sepatutnya bersifat menghukum.

“Mohon jaminan RM20,000 dikenakan dan saya percaya jumlah itu memadai untuk pastikan tertuduh menghadiri setiap prosiding di mahkamah. Malah, sejak setahun lalu anak guam saya memberi kerjasama penuh hadir ke pejabat SPRM untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 berserta syarat dan perintah tambahan selepas mengambil kira kepentingan awam dalam kes tersebut. Tarikh 21 November depan ditetapkan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya