SHAH ALAM: Seramai 21 ahli jawatankuasa (AJK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Shah Alam meletakkan jawatan dan mengisytihar keluar daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan tersebut didakwa dilakukan selepas kecewa dengan kepemimpinan parti di peringkat pusat dan cabang terutama apabila mereka mengatakan tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan untuk membuat keputusan.
Mereka dalam kenyataan bersama berkata, kecewa dengan Ketua Cabang, Mohd. Najwan Halimi kerana gagal mengamalkan prinsip konsultasi dan kebersamaaan dalam membuat keputusan.
Menurutnya, parti politik sepatutnya mengamalkan nilai reformasi dan demokrasi yang dilaungkan kepada rakyat, namun prinsip-prinsip itu tidak lagi diamalkan secara konsisten oleh PKR, hari ini.
“AJK-AJK Cabang dipilih secara demokrasi melalui pemilihan parti tidak diruding mahupun dilibatkan dalam pelbagai keputusan penting termasuk pelantikan politik dan urusan organisasi cabang.
“Lebih mendukacitaka, keputusan-keputusan dibuat tanpa sebarang perbincangan rasmi bersama AJK yang dipilih, walaupun konsultasi dan penghormatan terhadap mandat pimpinan yang dipilih diperuntukkan secara jelas dalam perlembagaan parti,” katanya di sini, hari ini.
Kesemua 21 terdiri daripada AJK yang dipilih dalam PKR di peringkat Cabang Shah Alam serta pimpinan Wanita PKR cabang tersebut termasuk Timbalan Ketua Wanita Cabang, Naib Ketua Wanita 1 dan 2, Setiausaha Wanita, Bendahari Wanita, Ketua Penerangan Wanita, Ketua Srikandi Wanita dan AJK Wanita Cabang.
Malah, kesemua 21 AJK itu turut mendakwa hilang kepercayaan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kegagalan menunaikan janji-janji reformasi yang selama ini menjadi asas perjuangan dan keyakinan ramai anggota parti.
“Keputusan dibuat selepas pertimbangan mendalam serta kekecewaan yang semakin memuncak terhadap hala tuju dan kepemimpinan parti, khususnya kegagalan berulang kali dalam menunaikan janji-janji reformasi.
“Kami hilang kepercayaan terhadap presiden parti susulan janji-janji reformasi yang dilihat tidak lagi diterjemahkan dalam amalan sebenar, serta kegagalan mempertahankan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan demokrasi yang pernah menjadi tunjang perjuangan PKR,” jelasnya. – UTUSAN










