Lelaki kurung, amang seksual pelajar dituduh atas pelbagai kesalahan

Lelaki kurung, amang seksual pelajar dituduh atas pelbagai kesalahan

Kurung amang seksual pelajar
MOHAMAD Fadwan Abd. Muaain dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen atas pelbagai kesalahan termasuk mengurung dan melakukan amang seksual ke atas seorang pelajar tingkatan 2, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang ditahan kerana mengurung dan melakukan amang seksual ke atas seorang pelajar tingkatan 2 pada 11 Mei lalu dihadapkan di empat Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini atas pelbagai kesalahan.

Selain mengurung dan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak tersebut, lelaki bekerja sebagai pengutip hutang itu turut dituduh merompak wanita warga asing, menyamar sebagai penjawat awam, mencuri motosikal dan menggunakan dadah.

Tertuduh, Mohamad Fadwan Abd. Muaain, 42, mengaku salah atas kesemua pertuduhan yang dibuat di bawah Seksyen 170, 342, 323, 394 dan 379 Kanun Keseksaan (KK) serta Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 (Akta 792)  dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Bagi kesalahan berkaitan pelajar lelaki itu, tertuduh didakwa membuka seluar serta memegang bahagian belakang badan dan menyentuh kemaluan kanak-kanak berusia 14 tahun berkenaan selain menyebabkan kecederaan serta mengurungnya.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat sebuah rumah di Pangsapuri Rimau Indah, Seksyen 32, di sini antara pukul 8.05 pagi hingga 11.50 pagi. Justeru, bagi kesalahan tersebut dia dituduh di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rasyihah Ghazali di bawah Seksyen 14(d) Akta 792 yang memperuntukkan hukuman 20 tahun penjara dan sebatan.

Bagi kesalahan mengurung dan mencederakan, bapa seorang anak itu dituduh di hadapan Majistret, Wan Noora Nisa Ngadirin di bawah Seksyen 324 dan 323KK masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Sementara di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hasniah Ab. Razak pula, lelaki itu dituduh melakukan merompak Aminah Yeni Fernata pada 8 Mei lalu dengan mengambil wang tunai RM200, telefon bimbit, permit masuk Malaysia, dua kad ATM, lesen memandu dan sebuah motosikal Suzuki berwarna biru.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat sebuah rumah kosong di Jalan Anggerik Vanila, Kota Kemuning, di sini kira-kira pukul 8.45 pagi. Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 394KK yang memperuntukkan hukuman 20 tahun dan denda atau sebatan.

Bagi kesalahan mencuri motosikal tersebut, dia dituduh di hadapan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman di bawah Seksyen 379A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun dan denda.

Malah, untuk melakukan kesalahan itu, dia juga didakwa menyamar sebagai penjawat awam dan dituduh di hadapan majistret sama di bawah Seksyen 170KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Juga di hadapan Majistret Cynthia Noor Haizean, Mohamad Fadwan didakwa kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 15 Mei lalu memasukkan dadah ke dalam badannya di Pejabat Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Bagi kesalahan itu dia dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun serta menjalani perintah pengawasan oleh polis sehingga tiga tahun di bawah Seksyen 39B akta sama.

Di akhir prosiding, lelaki bergelar duda itu kemudian dikenakan hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan kerana merompak seorang wanita, satu tahun bagi kesalahan mencuri motosikal, 15 bulan bagi kesalahan mengurung dan mencederakan mangsa.

Bagi kesalahan melakukan amang seksual serta memasukkan dadah, Hakim Rasyihah dan Majistret Cynthia Noor Haizean masing-masing menetapkan sebutan semula kes pada 8 Jun dan 5 Ogos bagi mendapatkan laporan patologi, menjatuhkan hukuman dan membaca fakta kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, K. S. Rinisya Priyya, Ho Zee Xing, Nur Amirah Zahari dan Alia Anisa Khairus Masnan. Sementara tertuduh diwakili Peguam Adli Hakim dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan Seorang bekas banduan yang disyaki mengurung dan meliwat seorang pelajar lelaki tingkatan 2 pada Isnin dua minggu lalu ditahan polis dekat sebuah bilik sewa di Kuala Lumpur.

Suspek sebelum diburu polis berhubung kes tersebut dan disahkan merupakan seorang bekas banduan atas kesalahan rogol, rompak dan kurung seorang gadis pelayan pelanggan (GRO) pada 2007. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN