21 kes bunga ganja di KLIA dibuka, 19 dituduh di mahkamah

21 kes bunga ganja di KLIA dibuka, 19 dituduh di mahkamah

Bunga ganja KLIA
SHAZELI Kahar ditemui pemberita pada sidang akhbar dekat Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 21 kes dibuka berkaitan aktiviti sindiket pengedaran dadah bunga ganja yang menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai pusat transit bahan terlarang itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 19 kes sudah pun dikemukakan ke mahkamah dan kesemua suspek terlibat dituduh.

“Setakat ini ada 21 kes, bukan 21 individu. 21 kes tangkapan, 19 kes dituduh. Maknanya ada dua lagi masih dalam siasatan. Kita tak boleh ulas berapa ramai sebab berbeza (pada setiap kes).

“Pertuduhan dibuat di bawah pelbagai seksyen termasuk Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tindakan di bawah langkah-langkah pencegahan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sejak 11 Mac lalu, menerusi laporan tangkapan berkaitan pengedaran bunga ganja di KLIA, polis menahan sekurang-kurangnya 25 individu terdiri daripada lima warga tempatan dan 21 warga asing.

Mereka dilapor cuba membawa keluar bunga ganja keluar dengan menyasarkan negara Eropah dengan jumlah keseluruhan kira-kira 690 kilogram (kg) dadah itu bernilai lebih RM54 juta dalam kes yang dikesan antara 3 Mac hingga 11 Mei.

Malah, dalam kes terbaru dilapor pada Isnin lalu, beliau melaporkan polis mengesan dan menggagalkan cubaan membawa keluar 172.8 kg dengan menahan tujuh warga asing termasuk tiga wanita berusia 17 hingga 31 tahun.

Selain itu, Shazeli turut memaklumkan pihaknya masih mengesan seorang wanita bernama Nurul Syazwani Farhana yang disyaki sebagai pemilik bagasi mengandungi dadah jenis syabu dirampas oleh polis pada 30 Mac lalu.

“Namun usaha masih lagi diteruskan dan saya memohon kepada rakyat dan media atau masyarakat sekiranya mempunyai maklumat tentang penama tersebut, sampaikan dengan segera kepada polis supaya kami dapat bertindak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN