Sultan Selangor titah jangan salah tafsir perpaduan Melayu

Sultan Selangor titah jangan salah tafsir perpaduan Melayu

Jangan salah tafsir perpaduan Melayu
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah perpaduan orang Melayu tidak seharusnya disalah tafsir untuk bermusuhan dengan kaum lain di negara ini.

Baginda bertitah, sebaliknya semua pihak sepatutnya mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan orang Melayu yang membuka ruang kepada orang lain untuk mengambil kesempatan dan melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa di tanah air sendiri.

“Beta mahu menegaskan bahawa perpaduan orang Melayu tidak harus disalah tafsir sebagai usaha untuk bermusuhan dengan semua kaum lain di negara ini. Sebaliknya, kekuatan sesuatu bangsa yang hidup bersatu akan menjadikan negara lebih aman, stabil dan rakyatnya saling hormat menghormati.

“Beta juga perhatikan sejak akhir-akhir ini terlalu banyak pertelingkahan dan perselisihan berlaku dalam kalangan ahli-ahli politik sehingga boleh menimbulkan keresahan rakyat, titah baginda dalam perutusan Sambutan Hari Raya Aidiladha 2026 di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Sultan Sharafuddin menegaskan Aidiladha sepatutnya mengajar erti pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah.

“Ketika jutaan umat Islam berhimpun di Tanah Suci tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan, mereka menunjukkan satu contoh perpaduan yang amat besar nilainya kepada seluruh dunia Islam.

“Mengambil teladan dari itu, beta berharap orang Melayu dan umat Islam di negara ini akan terus bersatu padu, tidak kira daripada kalangan pemimpin politik hinggalah kepada rakyat jelata. Jika kita terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka kita yang akan rugi dan lemah,” jelas baginda.

Dalam pada itu. Sultan Selangor turut menasihatkan agar semua kaum, bangsa dan semua agama di negara ini saling hormat menghormati sensitiviti antara satu sama lain dan hidup aman damai.

“Sejarah membuktikan bahawa tamadun Islam pernah mencapai zaman kegemilangan ketika era Kerajaan Uthmaniyyah apabila masyarakat berbilang bangsa hidup harmoni di bawah pemerintahan Islam.

“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor turut mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan segala urusan ibadah mereka, dikurniakan kesihatan yang baik, kembali ke tanah air dengan selamat serta memperoleh haji yang mabrur,” ujar baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN