SHAH ALAM: Sebanyak 59 laporan polis dibuat terhadap Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua Kiam Wee berhubung kenyataannya yang mendakwa kuasa raja di negara ini terhad.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, bekas Ahli Parlimen Damansara itu akan dipanggil dalam masa terdekat dan siasatan akan dijalankan oleh Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
“Laporan dibuat di seluruh negara dan siasatan akan dijalankan oleh Polis Kontinjen Selangor. Laporan tidak melibatkan IPK ini sahaja, laporan diterima dari pelbagai balai polis di seluruh negara.
“Justeru, saya akan memberikan reaksi-reaksi dan komen berdasarkan keperluan-keperluan semasa, insya-Allah kita akan laksanakannya (kemaskini perkembangan),” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan polis membuka siasatan terhadap Tony Pua susulan hantaran dimuat naik di laman Facebook miliknya kelmarin mengulas mengenai isu titah dan Rukun Negara.
Tindakan itu susulan bekas wakil rakyat DAP itu dilapor mendakwa kuasa raja secara keseluruhannya di bawah sistem Raja Berperlembagaan diamalkan di negara ini terhad.
Beliau mendakwa, sistem itu terhad kepada kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan berperlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN










