SHAH ALAM: Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan tragis selepas melanggar sebuah jengkaut dekat persimpangan berhampiran kilang gula dekat Batu Tiga di sini, tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa dikatakan tersebut di bahagian bawah jentera berat itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah motorsikal jenis Yamaha Y15 melanggar sebuah jengkaut.Terdapat seorang mangsa lelaki berumur 20 tahun (penunggang motosikal) tersepit di bawah jengkaut tersebut.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan. Mangsa dikeluarkan oleh anggota bomba bertugas dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.06 tengah malam tadi sebelum menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam.
Seramai lima pegawai dan anggota bersama sebuah jentera terlibat dalam operasi menyelamat. – UTUSAN










