Pinda Perlembagaan Persekutuan, masukkan Rukun Negara

Pinda Perlembagaan Persekutuan, masukkan Rukun Negara

Perlembagaan Persekutuan Rukun Negara
NURUL SYAZWANI NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan memasukkan prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai suatu yang wajar dipertahan dan dihormati oleh semua pihak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatan, Nurul Syazwani Noh berkata, cadangan tersebut memperkukuhkan semangat patriotisme, memperkasa perpaduan nasional serta memastikan generasi akan datang memahami negara ini dibina di atas prinsip-prinsip tersebut.

“Saya mencadangkan agar Parlimen mempertimbangkan satu usaha besar dan bersejarah dengan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai nilai asas kenegaraan yang wajib dihormati dan dipertahankan oleh semua pihak.

“Kita melihat semakin banyak pihak yang mula mempersoalkan perkara-perkara asas berkaitan identiti negara, adab terhadap institusi diraja, perpaduan kaum serta semangat kenegaraan. Perkara itu tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, bekas wakil rakyat dari DAP, Tony Pua Kiam Wee dilapor mendakwa kuasa raja secara keseluruhannya di bawah sistem Raja Berperlembagaan diamalkan di negara ini terhad.

Beliau mendakwa, sistem itu terhad kepada kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan berperlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Malah, beliau menegaskan Rukun Negara tidak boleh hanya tinggal sebagai slogan yang hanya dilafaz pada majlis rasmi atau perhimpunan sekolah, sebaliknya perlu dijadikan roh kepada pentadbiran negara dan panduan kepada rakyat.

“Perbezaan politik boleh diraikan. Tetapi kesetiaan kepada negara dan penghormatan kepada institusi negara mesti kekal menjadi titik persamaan kita semua.

“Negara akan kuat apabila rakyatnya masih mempunyai adab, hormat dan rasa cinta kepada tanah airnya. Rukun negara merupakan asas pembinaan Malaysia yang berdaulat, harmoni dan bersatu padu,” ujarnya.

Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan wakil rakyat Selangor khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Ronnie Liu Tian Khiew mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor di sini, bagi menghayati makna sebenar Rukun Negara.

Baginda menyarankan agar Siew Ki dan Ronnie Liu datang ke Dataran Selangor seminggu sekali bagi melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara dan menghayati makna sebenar Rukun Negara supaya tahu hormat kepada kedaulatan institusi raja serta menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.

HABIS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN