Titah sultan: Jangan amal sikap kesetiaan terpilih - MB

Titah sultan: Jangan amal sikap kesetiaan terpilih – MB

Kesetiaan terpilih
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pimpinan dalam mana-mana parti perlu berhenti mengamalkan sikap kesetiaan terpilih dengan mempertahankan institusi raja apabila menguntungkan kedudukan politik sendiri.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Malaysia mempunyai undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan yang jelas sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

“Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan secara terang dan Zahir memperuntukkan bahawa Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi negara.

“Oleh itu, sebarang cubaan untuk mengherotkan sejarah negara, menanam kebencian antara kaum, ataupun mempersoalkan kerangka Perlembagaan demi keuntungan politik adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan berbahaya kepada masa depan negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah perpaduan orang Melayu tidak seharusnya disalah tafsir untuk bermusuhan dengan kaum lain di negara ini.

Baginda bertitah, sebaliknya semua pihak sepatutnya mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan orang Melayu yang membuka ruang kepada orang lain untuk mengambil kesempatan dan melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa di tanah air sendiri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak menegaskan rakyat seharusnya menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menghayati Rukun Negara secara menyeluruh dan memahami latar belakang mukadimahnya.

“Malaysia dibina bukan atas kebencian kaum ataupun ketakutan agama, tetapi atas semangat muafakat, persefahaman antara pelbagai latar belakang, dan keluhuran undang-undang yang menerima asas pembinaan Malaysia.

“Selain itu, semua pihak harus meneliti Perlembagaan Persekutuan secara jujur dan bertanggungjawab serta membaca Pengisytiharan Kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj supaya sejarah negara tidak diputar belit menurut kepentingan politik sempit,” jelasnya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu menambah, di situ terkandung cita-cita besar pembinaan negara dengan membentuk masyarakat bersatu padu, demokratik, adil serta progresif dan bukan sebaliknya dibina atas kebencian kaum ataupun ketakutan agama.

“Rukun Negara bukan sekadar lafaz di majlis rasmi, tetapi falsafah kebangsaan yang harus dihayati dalam kehidupan bernegara,” ujarnya.

Kelmarin, Sultan Selangor Sultan Selangor menitahkan wakil rakyat Selangor khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Ronnie Liu Tian Khiew mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor di sini, bagi menghayati makna sebenar Rukun Negara.

Baginda menyarankan agar Siew Ki dan Ronnie Liu datang ke Dataran Selangor seminggu sekali bagi melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara dan menghayati makna sebenar Rukun Negara supaya tahu hormat kepada kedaulatan institusi raja serta menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.

Bagaimanapun, titah tersebut dikritik Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua Kiam Wee yang dilapor mendakwa kuasa raja secara keseluruhannya di bawah sistem Raja Berperlembagaan diamalkan di negara ini terhad.

Beliau berkata, sistem itu terhad kepada kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan berperlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN