SHAH ALAM: Polis mengesahkan kematian pegawai kanan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang terjatuh dari tingkat lapan sebuah kondominium di sini adalah bersifat kemalangan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tragedi yang berlaku terhadap Allahyarham Asisten Superintendan, Mohd. Firdaus Safuan Abdul Rasib semalam tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.
“Pada insiden semalam, setakat ini kita percaya ia adalah bersifat kemalangan, tiada unsur-unsur bersifat jenayah. Itu sahaja ulasan saya.
”Bedah siasat sudah selesai dilakukan semalam dan jenazah sudah pun dikebumikan dekat kampung halamannya di Kuantan pada malam tadi,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Semalam, akhbar ini melaporkan seorang pegawai kanan polis maut akibat terjatuh dekat sebuah kondominium Vista Alam, di Seksyen 14.
Beliau berkata, pusat Kawalan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima maklumat tersebut sebelum mengesahkan mangsa meninggal dunia kira-kira pukul 3.07 pagi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Bagaimanapun, Shazeli menegaskan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang membuat spekulasi sehingga mencetuskan fitnah dan mengaibkan keluarga.
“Saya tidak boleh memberi ulasan tentang komen-komen tersebut (dalam media sosial). Komen saya adalah berdasarkan kepada kenyataan media yang dikeluarkan (semalam).
“Spekulasi yang tidak benar dan berbaur fitnah, insya-Allah laporan (polis) boleh dibuat dan tindakan siasatan akan dijalankan. Spekulasi seperti komen-komen tidak benar boleh mengaibkan kepada arwah dan juga keluarganya,” ujarnya.
Beliau menambah, pemergian Allahyarham Mohd. Firdaus Safuan meninggalkan dua orang anaknya yang masih kecil. – UTUSAN










