Peluang pekerjaan sektor aeroangkasa lepasi sasaran MAIB 2030

Peluang pekerjaan sektor aeroangkasa lepasi sasaran MAIB 2030

Peluang pekerjaan aeroangkasa
SIM Tze Tzin (tengah) mendengar penerangan tentang kompleks hangar BMM daripada Ketua Pegawai Eksekutif BMM, Lee Yang Loong pada Majlis Pelancaran BMM dekat Subang Skypark, di Subang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Hampir 35,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan menerusi perkembangan sektor aeroangkasa negara sehingga tahun lalu dan daripada jumlah tersebut 12,000 berada dalam industri selenggara, baik pulih dan overhaul (MRO).

Perkembangan itu melepasi sasaran 30,000 pekerjaan dalam Blueprint Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) 2030 yang dipengaruhi oleh kemajuan dalam sektor tersebut yang mencatatkan perolehan sehingga RM32.5 bilion menerusi industri tersebut pada tahun sama.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, pencapaian tersebut meletakkan sektor aeroangkasa negara di landasan yang betul untuk mencapai perolehan RM55 bilion menjelang 2030.

“Perkembangan industri aeroangkasa di Asia Pasifik adalah paling tinggi dan memberi peluang kepada negara untuk mencapai sasaran tersebut pada penghujung dekad ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Base Maintenance Malaysia (BMM) di sini, hari ini.

Tambahnya, ketika ini Malaysia secara keseluruhan sasar untuk menjadi hub MRO utama di Asia Tenggara yang turut disokong oleh ekosistem seperti penyelenggaraan komponen dan akses-akses lain.

“Perkhidmatan MRO yang kita ada ketika ini seperti Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang,” ujarnya.

BMM dimiliki oleh Singapore International Airlines Engineering Company (SIAEC) membuka hangarnya di negara dekat Subang Skypark sebagai salah satu hab penyelenggaraan kapal terbang di rantau ini yang akan menyasarkan penerimaan pesawat dari syarikat penerbangan India serta Korea Selatan.

Tze Tzin berkata, pembukaan hangar itu menandakan keyakinan SIA sebagai antara syarikat penerbangan utama global terhadap keupayaan negara ini dalam sektor MRO.

“Kemasukan SIAEC ke negara ini untuk melaksanakan penyelenggaraan kapal terbang menunjukkan keyakinan SIA terhadap kemampuan dan keupayaan tenaga berkemahiran tinggi tempatan serta ekosistem yang disediakan di negara ini.

”Kita tahu, MRO memerlukan kemahiran kejuruteraan yang sangat tinggi khususnya melibatkan aspek keselamatan yang juga memerlukan high precision (ketepatan tinggi),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN