KUALA LANGAT: Anggapan kawasan ‘selamat’ bagi dua pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia dipercayai cuba keluar dari negara ini secara tidak sah kurang 300 meter dari Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Ladang Tumbuk, di sini pada Sabtu lalu mengundang padah apabila ditahan polis.
Lebih malang, kedua-dua lelaki berusia 30-an itu, dikesan membawa beberapa beg galas berisi 89 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dibungkus dalam pelbagai jenis paket minuman oleh Batalion Keenam Briged Tengah PGA kira-kira pukul 11.30 pagi.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, kedua-dua suspek diserbu dekat kawasan paip besar di tepi Jalan Ladang Tumbok Belangkan di Tanjong Sepat.
“Hasil serbuan dua lelaki warga Indonesia ditahan bersama dadah dirampas bernilai RM4.4 juta. Tangkapan adalah hasil daripada siasatan, rondaan pasukan dan juga maklumat yang diperolehi.
“Kita percaya mereka hendak keluar melalui tempat itu, mungkin ketika ditahan kedua-dua supek sedang menunggu bot atau kenderaan lain untuk pergi ke suatu tempat,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Jelasnya, suspek juga dipercayai bekerja di ladang sudah pun berada di negara ini sejak dua hingga tiga bulan lalu.
“Tangkapan dan rampasan akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1959/63. Justeru, kedua-dua suspek diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Hakemal menambah, tangkapan tersebut menyumbang kepada rekod 179 serbuan yang dilakukan oleh pasukannya sejak 1 Januari lalu meliputi negeri ini, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Seramai 611 individu ditangkap dengan pelbagai jenis rampasan melibatkan RM254 juta di kawasan tanggungjawab Briged Tengah PGA.
“Polis melalui PGA akan terus menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam. Polis juga mengharapkan agar orang awam dapat menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan segara jenis maklumat berkaitan kes penyeludupan yang berlaku di kawasan sekitar,” katanya. – UTUSAN










