Program Peralihan Khas lesen motosikal libat pelbagai faktor

Program Peralihan Khas lesen motosikal libat pelbagai faktor

ANTHONY Loke mengiringi Tunku Ali Redhauddin bergambar dengan penerima anugerah pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani di Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani di sini, semalam. - UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Program Peralihan Khas bagi pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 lebih 10 tahun untuk mendapatkan lesen B penuh bermula 1 Oktober ini dibuat selepas mempertimbangkan secara terperinci termasuk melihat pelbagai faktor.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebab itu disyaratkan supaya pemohon perlu memiliki LLM kelas B1 atau B2 secara aktif berterusan minimum 10 tahun.

“Bukan semua orang mengambil lesen B penuh ini kerana bila ada keperluan boleh diambil malahan ia bukannya wajib.

” Mana-mana pihak yang rasa keperluan menaik taraf lesen itu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar, kita permudahkan dengan syarat tersebut,” kata beliau selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani dan menyampaikan bantuan lebih RM60,000 bagi membaik pulih fasiliti sekolah berkenaan.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, syarat lain ialah pemohon hendaklah bebas senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Kita tidak buat secara automatik, meski ada yang minta dibuat begitu. Sebaliknya, mereka perlu pergi ke institut memandu menjalani kursus dua jam bagi memastikan tahap kompetensi dan pengalaman pemanduan,” katanya.

Menurutnya, kementerian juga mengambil pertimbangan dari segi pengalaman berbanding usia kerana ia suatu keputusan yang lebih praktikal.

“Sebelum ini memang kita pertimbangkan dengan mengambil kira umur tapi katakan mengambil kira umur tapi tiada pengalaman tidak betul juga. Jadi kita sudah mengambil pertimbangan yang lebih praktikal dengan melihat usia lesen mereka bukannya usia pemandu tersebut,”katanya.

Media semalam melaporkan, pemegang LMM kelas B1 dan B2 selama lebih 10 tahun akan layak menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B penuh, bermula 1 Oktober depan.

Loke berkata, pemohon bagaimanapun perlu memenuhi syarat ditetapkan, antaranya menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian ke kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas di institut memandu (IM) dengan kos yuran sebanyak RM160. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN