KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) merupakan hospital pertama di negara ini melaksanakan Garis Panduan Penjagaan Aurat Pesakit di Dewan Bedah dan Dewan Bersalin.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, usaha itu merupakan inisiatif dalam memastikan aurat pesakit terjaga ketika mendapat rawatan di hospital berkenaan, selain ke arah penyediaan perkhidmatan kesihatan yang berihsan.
Katanya, garis panduan tersebut mengenengahkan prinsip Fiqh Perubatan di mana kebenaran
pendedahan aurat berlandaskan kaedah darurat mengharuskan perkara dilarang.
“Bagaimanapun, pendedahan tersebut wajib dikawal rapi berasaskan kaedah darurat diukur mengikut kadar keperluannya sahaja di mana pendedahan hanya dibuat pada kawasan pembedahan yang mutlak diperlukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas
Majlis Pelancaran Garis Panduan Penjagaan Aurat Pesakit di Dewan Bedah dan Dewan Bersalin di Kompleks Rawatan Harian HRPZ II di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Azman berkata, dalam situasi kecemasan klinikal, keutamaan tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetap diberikan kepada penyelamatan nyawa pesakit dan sebaik sahaja keadaan pesakit stabil, aurat akan ditutup semula dengan kadar segera.
“Di samping itu, beberapa pendekatan berikut telah diperkenalkan khususnya melalui Jabatan Pembedahan Am, Obstetrik dan Ginekologi, Ortopedik, Urologi, Pembedahan Mulut dan Maksilofasial, Otorinolaringologi dan Oftalmologi.
“Pembatasan staf berlainan jantina di dewan pembedahan dan bersalin, larangan rakaman klinikal tanpa kebenaran bertulis pesakit, serta amalan berdoa sebelum pembedahan dimulakan,” katanya.
Menurutnya, garis panduan penjagaan aurat pesakit yang dibangunkan oleh HRPZ II dapat dijadikan penanda aras dan panduan standard untuk dicontohi oleh hospital di seluruh negara.
Beliau berkata, selain itu, HRPZ II juga merupakan antara yang menyertai bersama lima buah hospital lain di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan Unit Spiritual dan Kesihatan USK di bawah Perkhidmatan Sokongan Klinikal. – UTUSAN









