Berpantang: Antara tradisi dan sains, mana satu pilihan ibu? - Utusan Malaysia

Berpantang: Antara tradisi dan sains, mana satu pilihan ibu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tempoh berpantang selepas bersalin merupakan fasa penting yang menentukan pemulihan fizikal dan kestabilan emosi seseorang ibu. Namun begitu, dalam masyarakat majmuk di Malaysia, ibu-ibu sering serba salah memilih antara pengamal perubatan dengan petua orang lama yang diwarisi turun-temurun. Hakikatnya, ibu tidak perlu memilih salah satu dan membuang yang lain.

Penjagaan terbaik adalah gabungan perubatan moden dan amalan budaya yang selamat, di samping sokongan emosi daripada keluarga.

Perubatan moden memfokuskan pengecutan rahim, kawalan pendarahan, penyembuhan luka, senaman lantai pelvik, dan pemeriksaan susulan selepas enam minggu. Namun, ibu yang berpantang sendirian tanpa bantuan mudah berasa sunyi dan berisiko mengalami kemurungan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di sinilah kelebihan budaya tempatan seperti pantang Melayu (40 hingga 44 hari), Zuo Yuezi masyarakat Cina (30 hari), dan Phatiyam masyarakat India (40 hari) yang berasaskan teori keseimbangan tubuh, pemulihan tenaga, serta usaha mengeluarkan ‘angin’ daripada badan.

Kelebihan utama amalan tradisional ini adalah kewujudan sistem sokongan sosial yang kukuh daripada ibu, ibu mentua, dan pengamal tradisional. Amalan ini menyediakan sistem sokongan padu daripada ibu, ibu mentua, dan penjaga pantang, sekali gus menepati saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tentang kepentingan penjagaan berpusatkan keluarga di rumah.

Amalan Tradisional yang Disokong Bukti Klinikal

Kajian klinikal membuktikan beberapa amalan berpantang tradisional mempunyai asas fisiologi dan memberi manfaat kesihatan kepada ibu jika dilakukan dengan cara yang betul.
Berbengkung

Secara tradisinya, bengkung dipakai untuk menyokong pengecutan rahim, meluruskan tulang belakang, dan mengembalikan bentuk perut (abdomen). Kajian mendapati pemakaian pengikat perut (bengkung) secara lembut hingga sederhana selepas pembedahan Caesarean membantu mengurangkan sakit, memudahkan ibu bergerak awal, mengurangkan pendarahan, dan melancarkan penyusuan dalam tempoh 48 jam pertama. Namun, elakkan ikatan terlalu ketat kerana ia boleh menekan otot lantai pelvik, menyebabkan kerengsaan kulit, serta mengganggu sistem pernafasan dan penghadaman.

Bertungku dan Tuaman Hangat
Amalan bertungku, mandi herba, dan tuaman hangat berfungsi melebarkan saluran darah periferal, melegakan kekejangan otot rahim, serta merangsang pembebasan hormon endorfin sebagai penahan sakit semula jadi. Bukti saintifik turut mendapati terapi haba membantu mengurangkan sakit rengat (afterpains), mempercepat penyembuhan luka episiotomi, dan merangsang penghasilan susu ibu.

Bagi mengelakkan risiko melecur, tuaman hangat hendaklah dilakukan pada bahagian belakang, punggung, atau atas ari-ari, dan sama sekali tidak diletakkan secara terus pada kulit yang kebas atau luka pembedahan yang masih baharu.

Urutan Pasca bersalin
Urutan tradisional membantu melegakan ketegangan bahu, kelesuan tubuh, dan keletihan, di samping meningkatkan emosi positif serta kajian membuktikan bahawa ia mampu menurunkan skor kemurungan awal pascabersalin. Bagaimanapun, urutan mesti dilakukan pada masa yang sesuai oleh juruterapi bertauliah selepas saringan risiko kesihatan dijalankan bagi mengelakkan gangguan pada luka pembedahan, luka perineum, atau komplikasi trombosis vena dalam (DVT).

Ibu dan penjaga juga perlu peka terhadap tanda amaran kecemasan seperti sakit dada, sesak nafas, pendarahan faraj yang berlebihan, demam, atau gejala tekanan darah tinggi.

Boleh Dirunding, Tetapi Ada yang Perlu Dielakkan

Banyak kepercayaan pantang larang sebenarnya boleh disesuaikan tanpa memudaratkan ibu dan bayi. Misalnya, mengehadkan air kosong kerana takut rahim kembang atau perut buncit sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan darah beku dan mengurangkan susu badan. Sebagai ganti, ibu boleh minum minuman suam seperti teh kurma merah, air halia, atau rebusan daun lemuni.

Begitu juga dengan larangan memakan sayur-sayuran seperti kubis, timun, dan kangkung yang dikhuatiri menyebabkan angin atau sakit badan. Kekurangan serat dan mikronutrien akibat pantang makan yang terlalu ketat akan menyebabkan sembelit teruk sehingga memaksa ibu meneran dan memudaratkan luka jahitan.

Penyelesaiannya, masak sayur tersebut bersama bahan bersifat ‘panas’ seperti halia, lada hitam, atau bawang putih. Sebaliknya, elakkan amalan berdiang (terdedah terus kepada bara api) kerana berisiko tinggi menyebabkan kulit melecur, dehidrasi, dan jangkitan kuman pada luka. Pengambilan jamu atau tonik herba yang tidak berdaftar juga perlu dijauhi kerana boleh merosakkan hati dan buah pinggang ibu serta memburukkan demam kuning bayi.

Berbincang Secara Terbuka

Hakikatnya, segala petua berpantang yang diwariskan oleh nenek moyang bukanlah bertujuan menyusahkan, sebaliknya lahir daripada kasih sayang dan keprihatinan mendalam untuk melindungi ibu-ibu yang baru bertarung nyawa melahirkan zuriat.

Dalam keterbatasan perubatan zaman dahulu, golongan terdahulu mencipta sistem penjagaan tersusun bagi memastikan ibu mendapat rehat secukupnya, memulihkan tenaga, melancarkan peredaran darah, serta dikelilingi belaian dan sokongan keluarga agar tidak berasa terasing.

Justeru, ibu dan keluarga digalakkan mengamalkan pendekatan 4A apabila bertemu doktor atau jururawat: bertanya tanpa segan (Ask), mengiktiraf niat baik keluarga untuk menjaga kesihatan ibu (Affirm), menilai risiko kesihatan bersama (Assess), dan menyesuaikan amalan pantang supaya selamat (Adapt).

Apabila tradisi diharmonikan dengan ilmu perubatan, tempoh berpantang pasti menjadi pengalaman yang sihat dan menenangkan ibu serta bayi.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini