Terapi CAR-T: Harapan baharu pesakit kanser dan autoimun - Utusan Malaysia

Terapi CAR-T: Harapan baharu pesakit kanser dan autoimun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penghidap penyakit autoimun dan pesakit kanser darah terutamanya yang kansernya kembali semula atau tidak lagi memberi tindak balas yang baik terhadap rawatan sedia ada, kini mempunyai harapan baharu untuk sembuh.

Rawatan Terapi Chimeric Antigen Receptor T-cell (CAR-T) membantu pesakit memanfaatkan sistem pertahanan badan sendiri yang diubah suai untuk membantu melawan kanser.

Bayangkan sel darah putih pesakit sendiri diubah suai supaya dapat mengenali dan menyerang sel kanser dengan lebih tepat. Pendekatan yang suatu ketika dahulu kedengaran seperti fiksyen sains ini kini menjadi kenyataan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Prof. Madya Jabatan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Yogeswaran Lokanathan berkata, CAR-T adalah sejenis imunoterapi yang menggunakan sel T, iaitu sel darah putih yang memainkan peranan penting dalam sistem pertahanan badan.

“Dalam kaedah yang lazim digunakan, sel T diambil daripada darah pesakit dan diubah suai secara genetik supaya dapat mengenali sasaran tertentu pada permukaan sel penyakit.

“Sel yang diubah suai itu kemudiannya dibiakkan di makmal dan menjalani ujian kualiti serta keselamatan sebelum dimasukkan semula ke dalam badan pesakit. Sel CAR-T seterusnya mengenali sasaran berkenaan dan membantu menyerang sel yang membawanya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pada masa ini, belum ada produk CAR-T yang sudah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk kegunaan sebagai rawatan piawai untuk mana-mana penyakit di negara ini.

Namun, sebanyak 12 produk CAR-T sudah diluluskan oleh pihak berkuasa negara lain seperti Amerika Syarikat, China, Japan, Singapura dan negara-negara Eropah, kesemuanya untuk penyakit kanser sahaja setakat ini.

Bagaimanapun, CAR-T bukan rawatan untuk semua jenis kanser. Kesesuaiannya bergantung kepada jenis penyakit, sasaran pada sel berkenaan, rawatan yang sudah diterima dan keadaan pesakit.

“Keberkesanannya juga berbeza mengikut jenis kanser dan individu. Sesetengah pesakit mencapai remisi lengkap iaitu keadaan apabila tanda-tanda penyakit tidak lagi dapat dikesan melalui pemeriksaan yang digunakan. Namun, keadaan ini tidak semestinya bermakna penyakit sudah sembuh untuk selama-lamanya,” terangnya.

Potensi baharu dalam rawatan penyakit autoimun Dr. Yogeswaran berkata, selain kanser, penyelidik kini sedang mengkaji penggunaan CAR-T bagi penyakit autoimun seperti lupus eritematosus sistemik (SLE), sklerosis sistemik dan beberapa penyakit radang otot.

Penyakit autoimun berlaku apabila sistem pertahanan badan tersilap menyerang tisu badan sendiri. Dalam sesetengah penyakit ini, sel B memainkan peranan penting kerana menghasilkan antibodi yang menyerang komponen badan sendiri dan menyumbang kepada keradangan.

“Dengan menyasarkan sel B tertentu, CAR-T berpotensi mengurangkan tindak balas imun yang menyebabkan penyakit. Kajian awal menunjukkan sesetengah pesakit yang mengalami penyakit autoimun yang sukar dikawal mencapai remisi selepas rawatan. Ada juga yang dapat mengurangkan atau menghentikan ubat penekan sistem imun di bawah pemantauan pakar.

“Pendekatan ini kadangkala disebut sebagai immune reset atau pembentukan semula tindak balas imun. Namun, istilah ini tidak bermaksud sistem pertahanan badan dipulihkan sepenuhnya atau penyakit pasti sembuh,” katanya.

Katanya lagi, bukti bagi penggunaan CAR-T dalam penyakit autoimun masih terhad berbanding penggunaannya untuk kanser tertentu. Bilangan pesakit yang dikaji masih kecil, manakala keselamatan jangka panjang, tempoh remisi dan kemungkinan penyakit berulang perlu dinilai melalui kajian yang lebih besar.

Oleh itu, CAR-T untuk penyakit autoimun masih dalam peringkat penyelidikan dan belum menjadi rawatan rutin bagi kebanyakan penyakit ini.Harapan terhadap teknologi

ini perlu disertai pemahaman yang jelas mengenai manfaat, risiko dan batas bukti saintifik yang ada.

Risiko dan kos rawatan
CAR-T bukan rawatan tanpa risiko. Antara komplikasi yang perlu diberi perhatian adalah sindrom pelepasan sitokin (cytokine release syndrome, CRS), iaitu tindak balas keradangan yang boleh berlaku apabila sel CAR-T menjadi aktif.

Gejalanya termasuk demam dan tekanan darah rendah. Dalam kes yang teruk, pesakit boleh mengalami masalah pernafasan dan memerlukan rawatan rapi. Komplikasi lain adalah sindrom ketoksikan saraf berkaitan sel imun (immune effector cell-associated neurotoxicity syndrome, ICANS) yang boleh menyebabkan kekeliruan, gangguan pertuturan, sawan dan masalah saraf yang lebih serius.

“Pesakit juga berisiko mengalami kekurangan sel darah yang berpanjangan, jangkitan dan penurunan paras antibodi.

“Pada April 2024, Food and Drug Authority (FDA) Amerika Syarikat mewajibkan amaran berkotak pada produk CAR-T autologus tertentu yang menyasarkan CD19 atau BCMA berhubung risiko keganasan sel T sekunder.

“Amaran ini menunjukkan risiko ini perlu diambil serius, walaupun ia tidak bermakna setiap pesakit akan mengalaminya. Pemantauan jangka panjang amat penting. Pengalaman di Malaysia sendiri menunjukkan bahawa komplikasi serius boleh berlaku,” katanya.

Malaysia mempunyai asas penting untuk membangunkan terapi CAR-T sendiri menerusi kajian klinikal di Pusat Terapi Sel, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM), dengan syarikat tempatan, Plutonet Sdn. Bhd. dari Cyberjaya.

Kos adalah antara halangan terbesar kepada penggunaan CAR-T secara meluas.Di Amerika Syarikat, harga senarai beberapa produk CAR-T komersial bagi kanser darah mencecah ratusan ribu dolar Amerika bagi satu rawatan.

Satu kajian kualitatif yang diterbitkan pada 2026 melaporkan anggaran kos terapi CAR-T tempatan sekitar RM250,000 hingga RM300,000 bagi satu infusi, berdasarkan maklumat daripada petugas kesihatan yang ditemu bual.

Kos sebenar berbeza mengikut jenis produk, penyedia perkhidmatan, keadaan pesakit dan kemudahan rawatan yang diperlukan.

Malaysia perlu memperkukuh pusat rawatan dan kepakaran klinikal. Terapi CAR-T memerlukan pakar hematologi dan onkologi, jururawat terlatih, kemudahan rawatan rapi serta pasukan yang mampu mengesan dan merawat komplikasi serius seperti CRS dan ICANS. Pusat rawatan juga perlu mempunyai sistem rujukan yang cekap supaya pesakit yang sesuai dapat dinilai lebih awal.

Kejayaan pembangunan CAR-T di Malaysia memerlukan sistem yang lengkap merangkumi penyelidikan, pembuatan, kawal selia, rawatan dan pembiayaan supaya pesakit dapat menerima rawatan yang selamat, berkualiti dan mampu diakses oleh semua golongan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini