KUALA TERENGGANU: UMNO Terengganu tidak berkecil hati malah menghormati sebarang pendirian Pas termasuk mengenai ruang rundingan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tertentu di negeri ini.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, pihaknya menghormati hak Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar untuk mengemukakan pandangan berhubung pembahagian kerusi di negeri itu.
Bagaimanapun menurutnya, belum ada sebarang rundingan rasmi antara UMNO Terengganu dengan Pas berhubung pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) setakat ini.
“Kita hormati hak beliau, beliau tiada masalah hendak umum 27 kerusi atau hendak beri lima kerusi sebab itu hak beliau. Berdasarkan perbandingan di Melaka yang menyaksikan mereka bertanding kesemua 21 kerusi yang dimenangi sebelum ini.
“Setakat ini, UMNO Terengganu belum ada sebarang rundingan lagi. Kita tidak boleh komen atau menyatakan berapa jumlah kerusi yang kita mahu. UMNO pun boleh umum, tetapi kita tidak boleh beritahu berapa yang kita hendak bertanding buat masa ini.
“Kita hormati keputusan Dr. Sam (Ahmad Samsuri) dan kita tidak terasa apa-apa pun dengan kenyataan pemimpin tersebut,”katanya.
Nik Dir berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahmad Samsuri sebelum ini yang memaklumkan Pas terbuka untuk berbincang dengan BN berhubung kedudukan lima kerusi DUN Terengganu yang kini tidak disandang wakil parti itu, selaras dengan pendekatan mengekalkan status quo seperti di Melaka demi keadilan semua pihak.
Katanya, UMNO Terengganu menyedari kedudukan parti itu yang tewas di kesemua 32 kerusi DUN pada pilihan raya lalu, namun keadaan itu tidak menjejaskan komitmen jentera parti untuk terus bergerak di semua kawasan.
Tambahnya, setakat ini UMNO Terengganu belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kemungkinan kerjasama dengan Pas sebaliknya tetap berpegang kepada prinsip menggerakkan jentera parti di seluruh negeri.
“Ramai yang memberi komen, namun hakikatnya tiada sebarang kenyataan rasmi daripada UMNO Terengganu lagi. Prinsip kita, kita berkawan dengan semua, namun prinsip parti tetap menggerakkan jentera di kesemua 32 DUN.
“Bagaimana pun, jentera kita terus bergerak di semua peringkat dan tidak akan terhenti hanya disebabkan khabar angin mengenai gabungan tersebut.
“Apabila ada keputusan muktamad dan persefahaman yang betul kelak, barulah masing-masing akan bertindak,” jelasnya.
Dalam pada itu, Nik Dir berpandangan, usaha ke arah penyatuan mempunyai kelebihan tersendiri, khususnya dari segi ekonomi negara, kestabilan politik serta memenuhi kehendak rakyat yang mempunyai pelbagai pandangan.
Bagaimanapun, katanya, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ahli kedua-dua parti berhubung hala tuju politik, termasuk sama ada mahu bergerak secara solo atau membentuk gabungan.
“Pada pandangan peribadi saya, gabungan ada kebaikan dan bergerak solo juga ada kebaikan, tetapi semuanya bergantung kepada kehendak pengundi.
“Perkara ini perlu dibincangkan secara terperinci dengan mengambil kira pandangan di peringkat negeri serta ketetapan kepimpinan tertinggi parti sebelum sebarang keputusan dibuat,”katanya
Tambahnya, UMNO Terengganu sentiasa bersiap sedia dalam apa jua keadaan. Kalau pilihan raya diadakan esok sekalipun, jentera kita sudah bersedia. – UTUSAN











