UMNO Terengganu disuruh ‘mandi bunga’ - Utusan Malaysia

UMNO Terengganu disuruh ‘mandi bunga’

AHMAD Said bergambar bersama jentera pilihan raya BN selepas Pelancaran Jentera PRN BN peringkat negeri Terengganu di Alor Limbat, Marang pada PRN Ogos lalu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMNO Terengganu perlu ‘mandi bunga’. Itulah antara kata-kata sinis dalam kalangan ahli parti itu sendiri setelah ditimpa nasib malang apabila Barisan Nasional (BN) tewas di semua 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri (PRN), baru-baru ini.

Malah sebelum itu, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), BN juga kecundang di semua lapan kerusi parlimen di negeri ini.

Kekalahan yang menimpa BN dalam PRN dan PRU15 adalah yang terburuk dalam sejarah pilihan raya di Terengganu.

Dalam PRN dan PRU15, Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja memenangi kesemua DUN dan parlimen, malah majoriti yang diperoleh di kebanyakan kerusi tersebut juga meningkat lebih sekali ganda.

Namun, sehingga ke hari ini, pemimpin UMNO Terengganu masih ‘menyepi diri’ dan mereka seolah-olah saling tidak mahu mengambil tanggungjawab di atas kekalahan terburuk BN itu.

Lebih memburukkan keada­an, terdapat dalam kalangan pemimpin UMNO menuding jari mendakwa kekalahan BN berpunca daripada tindakan ahli UMNO sendiri menyokong parti lawan.

DRASTIK

Dalam keadaan UMNO yang semakin ditolak oleh rakyat Terengganu, tindakan drastik perlu diambil segera untuk memulihkan kembali kekuatan UMNO di negeri ini kerana dibimbangi parti orang Melayu itu akan terus ‘terkubur’ selepas ini.

Pada masa sama, terdapat dalam kalangan ahli UMNO mendesak Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said meletakkan jawatan sebagai mengambil tanggungjawab kekalahan memalukan parti dalam PRN dan PRU15 lalu.

Antara mereka yang membuat desakan terhadap Ahmad termasuk Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang turut menegaskan UMNO Terengganu perlu mengetengahkan barisan kepimpinan muda bagi memberi nafas baharu kepada parti tersebut.

“Sudah tiba masanya, beliau (Ahmad Said) letak jawatan. Beliau perlu bertanggungjawab atas kekalahan teruk ini.

Sampai 32- 0, lapan parlimen kosong terus di Terengganu,” kata beliau.

Bagaimanapun, Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu masih mengambil sikap berdiam diri seolah-olah tidak berani menyahut cabaran tersebut.

Selain Ahmad, Timbalan Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku juga perlu berundur dan memberi peluang kepada muka-muka baharu menerajui parti itu. Walaupun keputusan itu berat dilakukan mereka, masa depan parti perlu diberi keutamaan.

Diakui dua pemimpin itu banyak berjasa kepada parti dan negeri tetapi zaman mereka sebenarnya sudah di penghujung. Mereka perlu menyerahkan tugas dan tanggungjawab memulihkan parti kepada golongan muda yang lebih berwawasan dan diterima rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN