KUALA LUMPUR: UMNO Terengganu mengakui berdepan kekalahan di negeri itu sekiranya pilihan raya diadakan esok atau masa terdekat susulan sentimen politik semasa yang dilihat tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN).
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Nurhisam Johari berkata, BN dan UMNO sukar menawan semula Terengganu tanpa strategi dan gerak kerja yang lebih tersusun.
Katanya, UMNO negeri itu berdepan landskap politik yang mencabar apabila parti itu masih jauh daripada mampu untuk meroboh doktrin sentimen yang terus menebal dalam kalangan penyokong Pas
“Isu dan kelemahan kerajaan Pas hari ini semakin sehari semakin melambak dan jika kena kaedah dan strateginya akan memberikan kelebihan ketara kepada UMNO tetapi jujurnya, kita masih gagal memanfaatkan peluang terbuka luas ini dengan pelbagai kekangan dan halangan.
“Kita masih gagal melawan keagresifan dan kesukarelaan gerak kerja propaganda dan tindak balas berstrategi daripada cybertrooper medsos parti lawan. Kita telah mula menyerang naratif Pas melalui Unit Komunikasi Strategi yang dibentuk.
“Namun sejujurnya, tahap agresif dan kesukarelaan kita masih belum mampu meroboh tembok kebal politik sentimen serta tahap kesukarelaan yang tinggi dalam kalangan penyokong Pas,” katanya dalam perbahasan Ucapan Dasar Presiden UMNO di sini hari ini.
Nurhisam berkata, kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Terengganu masih sukar dibuktikan dengan tepat dan sedikit sulit untuk membentuk persefahaman di samping naratif UMDAP yang terus dimainkan pihak lawan.
Beliau berkata, justeru itu pihaknya mahu UMNO Terengganu diberikan autonomi tersebut penting bagi memastikan setiap keputusan politik yang dibuat benar-benar selari dengan kehendak rakyat tempatan serta mampu memperkukuh kedudukan parti dalam menghadapi cabaran pilihan raya akan datang.
“Selain itu, UMNO Terengganu turut memohon supaya UMNO di peringkat pusat, selaku sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, berunding secara telus dan saksama dengan beberapa agensi pusat di negeri itu yang didakwa tidak memberikan layanan sewajarnya kepada suara UMNO Terengganu.
“Situasi berkenaan, menurut pandangan parti, sedikit sebanyak telah membantutkan pelbagai urusan serta usaha pengukuhan parti di peringkat negeri,” katanya. – UTUSAN










