Agenda Perpaduan Ummah tidak pinggir kaum lain

Agenda Perpaduan Ummah tidak pinggir kaum lain

AHMAD Zahid Hamidi berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan MIC Kali ke-80 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Agenda Perpaduan Ummah yang digerakkan UMNO tidak sesekali meminggirkan kaum lain sebaliknya berjalan seiring dengan amanah Barisan Nasional (BN) untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha menyatukan rakyat berbilang kaum mesti bermula daripada kesepakatan serta kekuatan dalaman parti-parti komponen BN sendiri.

“Sebagai Presiden UMNO, saya mahu masyarakat Melayu-Islam mencari titik persamaan dan bekerjasama dalam perkara yang kita sepakati.  

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tapi sebagai Pengerusi BN, saya mahu usaha itu berjalan seiring dengan amanah kita untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia. Kita perlukan semua kaum, dan kerja menyatukan rakyat bermula dalam BN sendiri,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan MIC Kali ke-80 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin, di sini hari ini.

Pada September lalu, Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 mengesahkan ruang persefahaman bersama Pas dibuka dan perlu diperkukuh demi perpaduan ummah.

Mengulas lanjut mengenai hala tuju politik gabungan itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, pendekatan politik BN bersifat dinamik dan disesuaikan mengikut realiti politik di setiap negeri.

Katanya, pengalaman di Johor dan Negeri Sembilan membuktikan wujudnya ruang sama ada untuk BN bergerak menggunakan kekuatan sendiri mahupun membina persefahaman bersama rakan politik baharu.

“Dalam kedua-dua keadaan, tanggungjawab saya ialah memastikan BN terus kuat dan mencapai hasrat politik yang kita semua dambakan.

“Sebab itu saya mahu UMNO kuat dan saya mahu MIC kuat. Apabila setiap parti komponen kuat, percayalah, apa pun bentuk persefahaman politik yang kita bina nanti, rakyat akan melihat BN sebagai sebuah gabungan yang benar-benar mampu memimpin negara,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini