Heret anggota terlibat penyeludupan dadah, walau berdepan hukuman mati

Heret anggota terlibat penyeludupan dadah, walau berdepan hukuman mati

MOHAMED Khaled Nordin (tengah) bergambar bersama pegawai tertinggi ATM sempena Perasmian Karnival CIMIC di Dataran TMIYC Pasir Gudang, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Pegawai dan anggota yang terlibat dengan sindiket penyeludupan dadah akan diheret ke muka pengadilan, walaupun individu terlibat perlu berdepan hukuman mati.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian tidak akan berkompromi dan memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Katanya, setakat ini enam pegawai dan dua anggota lain-lain pangkat (LLP) telah ditahan dengan tiga daripadanya sudah didakwa di mahkamah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya percaya mungkin akan ada lagi tangkapan melibatkan kes ini, polis sedang lakukan siasatan. Saya berharap melalui kes ini ia dapat bersihkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutamanya dalam kes melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Kita tidak ada niat untuk pertahankan sesiapa, sebab itu kita tangkap dan serah kepada polis untuk disiasat. Kementerian Pertahanan dan ATM tidak teragak-agak hantar sesiapa ke muka pengadilan walaupun berdepan hukuman mati,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC) Johor 2026 di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) di sini hari ini.

Semalam, tiga pegawai TUDM dan tiga orang awam didakwa di Mahkamah Majistret, Shah Alam, Selangor atas kesalahan mengedar 96.2 kilogram (kg) dadah menggunakan aset tentera di Foyer Ketibaan, Pangkalan Udara Subang pada 17 November 2026.

Mohamed Khaled berkata, penegasan itu penting sebagai peringatan bahawa kesalahan dilakukan bukan sahaja menyalahi peranan dan tanggungjawab untuk kegunaan peribadi tetapi menggunakan aset tentera untuk melakukan jenayah.

“Sementara itu, melibatkan lima lagi anggota yang telah ditahan, jika mereka tidak didakwa kerana kekurangan bukti di mahkamah. Tentera akan jalankan siasatan dalaman bagi menentukan sama ada mereka masih wajar kekal dalam perkhidmatan.

“TUDM sudah tubuhkan jawatankuasa bagi meneliti semula semua prosedur operasi standard (SOP) susulan pendedahan kes berkenaan. Kita bertegas kerana insiden ini bukan sahaja merosakkan imej ATM, malah menggagalkan usaha menjaga pertahanan negara,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berharap siasatan polis tidak terhenti kepada penahanan pegawai dan anggota tentera semata-mata, sebaliknya turut melibatkan dalang sebenar sindiket penyeludupan dadah berkenaan.

“Ini bukan satu sindiket yang TUDM buat, sebaliknya mereka dijadikan sebagai alat kepada sindiket sebenar. Jadi kita harap polis dapat tangkap mastermind (perancang) di belakangnya.

“Kita sudah buka jalan dan berikan semua maklumat yang diberi oleh anggota tentera yang ditahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini