PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan laporan penuh berhubung insiden penemuan dadah membabitkan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada Jemaah Menteri esok.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau percaya Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga akan memberikan taklimat berhubung insiden serius itu kepada Kabinet.
Beliau berkata, KDN akan meneliti pengajaran daripada kejadian berkenaan, khususnya membabitkan tahap keselamatan aset negara dan lokasi strategik yang dikategorikan sebagai kawasan larangan.
“Insiden itu memberi kesan serius terhadap keyakinan rakyat mengenai tahap keselamatan di lokasi strategik negara yang mempunyai kepentingan pertahanan.
“Terdapat enam lokasi strategik TUDM di Semenanjung, Sabah dan Sarawak termasuk di Subang, Gong Kedak, Kuantan, Labuan dan Kuching. Jadi, yang menjadi tumpuan sekarang adalah Subang, Labuan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, KDN kini akan meneliti keperluan memperluaskan liputan kawalan dan langkah keselamatan lebih rapi ke premis strategik seperti pangkalan tentera udara.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu perlu diperhalusi termasuk mengambil kira bidang kuasa utama terhadap premis berkenaan yang kini terletak di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Apakah ada keperluan? Jawapannya ya. Apakah nanti dalam pembahagian tugasan melibatkan Kementerian Pertahanan? Saya percaya itu lebih munasabah sebab agensi ini melibatkan ATM,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan polis berhubung insiden berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, hala tuju siasatan boleh membawa kepada pendakwaan, langkah pencegahan khas atau penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sekiranya terdapat elemen jenayah terancang seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
“Hala tujunya nanti ke mana berakhir? Boleh jadi pendakwaan, boleh jadi langkah-langkah pencegahan khas, boleh jadi juga kita invoke SOSMA kerana dia melibatkan elemen 130V, jenayah terancang yang boleh kita guna pakai,” katanya.
Beliau turut memberi bayangan bahawa lebih ramai individu dijangka ditahan berhubung kes berkenaan. – UTUSAN











