KUALA LUMPUR: Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) akan digunakan dalam siasatan terhadap sindiket penyeludupan dadah yang mengeksploitasi fasiliti penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian jenayah terancang itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan bukan sahaja tertumpu kepada kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, malah akan diperluas kepada kemungkinan wujudnya elemen jenayah terancang.
Beliau berkata, langkah itu bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket termasuk pembiaya, perancang, pengangkut dan individu yang berperanan sebagai orang tengah.
Katanya, kerajaan memandang serius kegiatan berkenaan kerana membabitkan eksploitasi anggota, kemudahan, aset dan infrastruktur strategik negara, termasuk fasiliti penerbangan TUDM.
“Siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Setakat ini, predikat siasatan. Hala tuju nak pergi kepada jenayah terancang dan sebagainya, kita akan invoke semua sekali. Bahkan SOSMA sekalipun, kita akan gunakan.
“Kita luaskan siasatan untuk kenal pasti penglibatan seluruh organisasi ini dan peranan setiap individu yang terlibat. Siapa pembiayanya, siapa perancangnya, siapa berperanan sebagai transporter, siapa yang jadi runner dan semuanya. Polis juga, ekoran insiden ini, telah pun sita tiga kenderaan dengan nilai RM172,062,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang meinta menyatakan bagaimana sindiket penyeludupan dadah boleh mengeksploitasi kemudahan penerbangan TUDM di Sabah sebagai laluan transit antarabangsa, serta apakah langkah kerajaan bagi memperketat kawalan keselamatan aset ketenteraan dan membanteras penyusupan sindiket jenayah terancang ke dalam institusi pertahanan negara.
Tambah Saifuddin Nasution, berkata, kerajaan yakin ketua sindiket penyeludupan dadah yang masih bebas dan telah dikenal pasti identitinya akan berjaya diberkas dalam masa terdekat.
“Merujuk insiden ini, pendirian kerajaan adalah kita pandang berat, pandang serius kerana ia melibatkan sindiket jenayah terancang, ada elemen eksploitasi personel, kemudahan, aset dan infrastruktur strategik negara, termasuk fasiliti penerbangan TUDM.
“Ini bukan sahaja soal kesalahan jenayah yang serius, malah boleh menjejaskan integriti institusi keselamatan dan pertahanan. Polis melalui Jabatan Narkotik menjalankan kerja-kerja risik seawal Januari 2026 berhubung dengan kegiatan ini dan hasilnya kita berkongsi dengan pihak Tentera Udara (TUDM).
“Pada operasi 17 dan 19 November (2026), Cawangan Provos Marsyal TUDM berjaya mengesan dan menumpaskan sebahagian daripada rangkaian sindiket ini. Kita tahan 13 individu, termasuk tujuh personel TUDM, (lima pegawai dan dua anggota lain-lain pangkat), serta enam orang awam.
“Kita rampas 96.64 kilogram metamfetamin bernilai RM4.83 juta dan ketua sindiket masih bebas. Kita dah kenal pasti, saya yakin dalam sedikit masa ini kita akan berjaya tangkap,” katanya. – UTUSAN











