GEORGE TOWN: Seorang wanita warga Thailand mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mendedahkan anak perempuannya berusia 12 bulan hingga menyebabkan risiko kecederaan pada kepala dan abdomen.
Tertuduh, Siti Aishah Ali, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi perempuan itu didakwa mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan pada kepala dan abdomen.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel bajet di Lebuh Penang antara kira-kira jam 8.19 pagi hingga 2.29 pagi bermula 16 November hingga 18 November lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 28 Disember ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Mahkamah turut memaklumkan tertuduh perlu melantik peguam sendiri memandangkan dia bukan warganegara. – UTUSAN










