PETALING JAYA: Seramai 850 individu ditahan manakala 620 pendakwaan direkodkan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) berkaitan kesalahan membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki atau tinggal di sesuatu premis sejak 2025 hingga 17 September lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan rekod Jabatan Imigresen (Imigresen) sebanyak 691 aduan berkaitan kediaman diterima sepanjang tahun lalu.
Beliau berkata, hasil tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan dalam tempoh sama, seramai 8,453 PATI ditahan di premis kediaman.
“Dalam tempoh sama seramai 96 individu ditahan mengikut Seksyen 55E Akta 155, manakala sebanyak 391 pendakwaan direkodkan mengikut seksyen sama.
“Bagi tahun 2026, sehingga 17 September lalu, sebanyak 109 aduan berkaitan kediaman diterima Imigresen dengan seramai 6,581 PATI ditahan di premis kediaman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) berhubung perincian jumlah aduan, pendakwaan dan tindakan terhadap pemilik atau penyewa rumah yang menyewakan premis kepada golongan Rohingya serta PATI lain di bawah Seksyen 55E Akta 155.
Saifuddin Nasution berkata, dalam tempoh berkenaan, seramai 131 individu ditahan mengikut Seksyen 55E, manakala sebanyak 229 pendakwaan dilaksanakan mengikut peruntukan sama.
Jelasnya, kerajaan memandang serius perbuatan membenarkan PATI memasuki atau tinggal di mana-mana premis, termasuk premis kediaman yang disewakan.
“Imigresen akan terus mempergiatkan risikan, pemeriksaan premis dan operasi penguatkuasaan secara bersasar, selain mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati membenarkan PATI tinggal di premis di bawah pengurusan atau kawalan mereka,” katanya.
Seksyen 55E Akta 155 melarang mana-mana individu yang mempunyai kepentingan, pengurusan atau kawalan terhadap sesuatu premis daripada membenarkan PATI memasuki atau tinggal di premis berkenaan.
Sekiranya disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM30,000, atau penjara maksimum 12 bulan, atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI yang ditemui di premis berkenaan.
Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM60,000, atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI yang ditemui. – UTUSAN











