Mahkamah tetapkan 23 Disember 2026 sebutan semula kes Mohd. Shuhaily

Mahkamah tetapkan 23 Disember 2026 sebutan semula kes Mohd. Shuhaily

MOHD. Shuhaily Mohd Zain hadir bagi sebutan semula kes membabitkan pertuduhan mencederakan dua anggota polis di Mahkamah Majistret Sepang hari ini.-UTUSAN/AMIR KHALID.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 23 Disember depan bagi sebutan semula kes Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang berdepan dua pertuduhan mencederakan anggota polis.

Majistret Khairatul Animah Jelani menetapkan tarikh itu bagi pengurusan kes selepas pihak pembelaan memaklumkan menerima dokumen berkaitan kes daripada pihak pendakwaan pagi ini.

Terdahulu, pihak pembelaan memohon supaya pengurusan kes ditetapkan pada 20 Januari tahun depan bagi membolehkan mereka meneliti dokumen berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, Khairatul Animah berkata pengurusan kes perlu ditetapkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh sebutan pertama.

Pada prosiding hari ini, mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan perintah halangan terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam kes berkenaan.

Sementara itu, peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad mewakili Mohd. Shuhaily berkata, mahkamah telah membenarkan permohonan perintah larangan bersuara (gag order) terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini.

“Pada pagi ini, pihak pembelaan OKS (orang kena saman) telah membuat satu permohonan untuk gag order (bagi) menghalang mana-mana pihak untuk memberikan kenyataan sub judice dan prejudis kepada mana-mana pihak kecuali media yang masih dibenarkan membuat laporan mengenai prosiding kes berkenaan.

“Perintah larangan ini mengikat pihak pembelaan, pendakwaan serta peguam pemerhati daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan perbicaraan sehingga kes diputuskan.

“Permohonan ini dibuat agar anak guam mendapat perbicaraan adil dan kita harap semua pihak menghormati keputusan mahkamah,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding sebutan kes tersebut hari ini.

Terdahulu, Mohd. Shuhaily tiba di mahkamah pada 8.20 pagi tadi bagi sebutan semula kes membabitkan pertuduhan mencederakan dua anggota polis.

Berpakaian lengkap sut berwarna biru gelap, Mohd Shuhaily ditemani Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal.

Pada 21 Oktober lepas, Mohd. Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa mencederakan Mohammad Faiz Muhamad Saman, 40, dan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, 25, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), antara pukul 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah sebelum ini membenarkan Mohd. Shuhaily diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain mengarahkannya hadir pada setiap prosiding perbicaraan kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Datuk Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.

Mohd. Shuhaily diwakili barisan peguam antaranya Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Kitson Foong. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini