Saya anggap Seniwati Fauziah Ahmad Daud sebagai guru dan idola - Rosnah Johari - Utusan Malaysia

Saya anggap Seniwati Fauziah Ahmad Daud sebagai guru dan idola – Rosnah Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Rosnah Johari menyifatkan seniwati Fauziah Datuk Ahmad Daud sebagai antara insan yang banyak membentuk dirinya dalam bidang lakonan.

Rosnah, 63, berkata, Fauziah banyak memberinya tunjuk ajar dalam bidang lakonan, termasuk dengan mengajaknya menyertai bengkel lakonan kendaliannya anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), baru-baru ini.

“Saya boleh katakan seniwati Fauziah Ahmad Daud ialah guru saya. Dia sendiri mengajak saya menyertai bengkel kendaliannya anjuran FINAS sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Orang kata, memang pucuk dicita ulam mendatang kerana dia merupakan idola yang sangat saya kagumi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rosnah berkata, dia juga kagum dengan cara seniwati itu bekerja, terutama dalam memastikan setiap pelakon memberikan komitmen terhadap watak masing-masing.

Malah, dia pernah berpeluang bergandingan dengan Fauziah menerusi drama 4 Penjuru arahan Allahyarham Pitt Haniff, sekali gus memberinya peluang melihat sendiri disiplin seniwati berkenaan ketika bekerja.

“Dia seorang yang sangat menitikberatkan disiplin dan selalu mengingatkan kami supaya jujur ketika berlakon. Dia memang sangat tegas, jadi kami perlu mengikut arahannya dan melakukan setiap babak dengan betul kalau tidak mahu dimarahi,” katanya.

Mengulas mengenai filem pendek terbaharunya, Diam yang Bergema, arahan Fauziah, Rosnah mengakui berdepan cabaran untuk menjayakan wataknya kerana perlu mempelajari bahasa isyarat.

“Cabaran paling sukar ialah saya perlu belajar bahasa isyarat. Ketika itu jadual saya agak padat kerana perlu menjalani penggambaran di luar kawasan dan menghadiri kelas lakonan.

“Memang susah kerana usia saya sudah meningkat dan pergerakan tangan pun tidak selentur dahulu. Bahasa isyarat banyak menggunakan pergerakan tangan, jadi agak sukar untuk saya mempelajarinya,” katanya.

Untuk rekod, Diam yang Bergema mengisahkan pengorbanan seorang ibu tunggal bernama Yam dalam mengharungi kehidupan demi menyara dan membahagiakan anak istimewanya, Sufi, dengan latar penceritaan yang turut mengetengahkan penggunaan bahasa isyarat.

Filem pendek arahan Fauziah itu menggunakan skrip olahan Slen Fadzil berdasarkan tulisan asal AB Wahid Nasir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini