KUALA LUMPUR: Program Susu Sekolah (PSS) oleh Kementerian Pendidikan (KPM) membantu menangani masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
PSS dilaksanakan di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) KPM.
Farm Fresh Berhad mendapat kontrak bekalan PSS (melalui lantikan tender terbuka) bagi tempoh 2025–2030 meliputi pembekalan hampir 80 juta pek susu UHT tanpa perisa setahun kepada murid yang menerima RMT.
Pengeluar produk tenusu tempatan terbesar di Malaysia itu komited untuk menggalakkan murid mengamalkan pemakanan sihat serta membina keterampilan dan keyakinan diri dalam menjayakan PSS.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Azmi Zainal berkata, nilai keterampilan amat penting untuk membentuk murid yang holistik, berkeyakinan tinggi dan berdaya saing untuk membantu menangani masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan murid daripada keluarga B40.
Menurut beliau, pencapaian akademik semata-mata tidak mencukupi tanpa keupayaan murid untuk membawa diri, berkomunikasi, dan mengaplikasikan kemahiran dalam kehidupan sebenar.
“Setiap tahun, kami mengadakan majlis seperti ini untuk meraikan anak-anak sekolah dan menyambut Hari Susu Sekolah Sedunia bersama masyarakat di seluruh dunia.
“Yang paling penting, kami mahu menghargai semua yang bekerja di belakang tabir bagi memastikan murid menerima bekalan susu di sekolah setiap hari bukan tugas yang mudah.
“Kami turut meraikan usahawan penghantaran kami yang memainkan peranan penting memastikan susu sampai ke setiap sekolah yang terlibat termasuk sekolah di kawasan pedalaman yang jauh dan sukar diakses,” katanya sempena Gala Hari Susu Sekolah Sedunia 2026.
Majlis diadakan di Majika Penang Convention Centre (MPCC), Pulau Pinang semalam, bersempena PSS Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi meraikan pelaksanaan program susu sekolah di seluruh dunia.
Majlis turut dihadiri Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Azmi berkata, beberapa inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) telah dilaksanakan sempena Hari Susu Sekolah Sedunia di mana Tetra Pak Malaysia merupakan rakan strategik Farm Fresh dalam inisiatif kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata, kitar semula kini menjadi agenda baharu Farm Fresh dengan tumpuan kepada pengumpulan kotak susu PSS terpakai untuk dikitar semula.
Katanya, Tetra Pak turut menyokong usaha ini melalui penyediaan bahan pendidikan dan aktiviti kesedaran alam sekitar untuk warga sekolah menerusi Program Memupuk Amalan Kelestarian “Kotak Jadi Taman”
“Dengan kerjasama Farm Fresh dan Tetra Pak, program ini dianjurkan di 10 negeri menerusi konsep Recycle and Redeem di mana warga sekolah mengumpul mata dengan menghantar kotak susu sekolah untuk dikitar semula.
“Mata tersebut boleh ditebus dengan barangan atau hadiah yang diperbuat daripada bahan kitar semula dan jumlah mata bergantung pada bilangan kotak yang dihantar.
“Bagi Pertandingan Kotak Jadi Taman Peringkat Kebangsaan, sebanyak 10 sekolah dipilih untuk bertanding menghias taman menggunakan bahan terpakai termasuk kotak UHT dengan hadiah berjumlah RM6,800 untuk para pemenang.
“Melalui aktiviti praktikal, murid mempelajari teknologi penanaman sayur dan digalakkan makan lebih banyak sayur di mana penglibatan guru dan murid dalam membangunkan taman ini menyemai amalan kitar semula dan minat terhadap pertanian sejak usia muda,” katanya. – UTUSAN











