PETALING JAYA: Aduan terhadap warga pendidik melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) tidak dianggap sebagai bukti kesalahan secara automatik tetapi berhak mendapat proses keadilan yang telus dan saksama.
Setiap aduan dibuat tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan berdepan tindakan tatatertib dalam kalangan guru dalam melaksanakan tanggungjawab mendisiplinkan murid di sekolah.
Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, setiap aduan diterima melalui sistem tersebut akan diberi perhatian sewajarnya.
“Pegawai penyiasat akan meneliti aduan berdasarkan prinsip ‘5W1H’ (siapa, bila, apa, kenapa, di mana dan bagaimana) bagi memastikan maklumat yang dikemukakan jelas dan mencukupi untuk siasatan lanjut.
“Aspek kerahsiaan dan tadbir urus aduan turut diberi perhatian KPM bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang boleh menimbulkan tekanan, prejudis atau persepsi yang tidak wajar terhadap mana-mana pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Khamis lalu, akhbar ini melaporkan, SISPAA didakwa menjadi antara faktor menyebabkan guru disiplin bimbang untuk mengambil tindakan terhadap pelajar bermasalah kerana berisiko berdepan aduan dan tindakan tatatertib.
Kebimbangan itu bukan sahaja melibatkan proses siasatan, malah risiko tindakan undang-undang dan isu integriti perkhidmatan turut menjadi pertimbangan guru ketika melaksanakan tanggungjawab mendisiplinkan pelajar.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, mekanisme pengendalian aduan menerusi sistem itu perlu diteliti semula bagi memastikan guru tidak dikenakan tindakan hanya berdasarkan aduan yang belum disahkan kesahihannya.
KPM menegaskan, pendiriannya adalah jelas dan seimbang iaitu setiap aduan diberi perhatian manakala setiap guru berhak mendapat proses yang adil.
Katanya, setiap tindakan hendaklah dilakukan berasaskan fakta dan bukti serta mengikut peraturan dan prosedur ditetapkan menerusi Pekeliling Am 2 Tahun 2022-Penambahbaikan Pengurusan Aduan Awam.
“Pendekatan ini memastikan pengurusan aduan dilaksanakan secara telus dan berintegriti, di samping memelihara hak, kebajikan dan kesejahteraan warga pendidik. “Ia sekali gus memperkukuh kecekapan dan kepercayaan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan KPM,” katanya.
KPM berkata, SISPAA merupakan saluran rasmi yang disediakan bagi membolehkan orang awam bukan saja mengemukakan aduan, malah memberi penghargaan, pertanyaan dan cadangan berkaitan penyampaian perkhidmatan kepada kementerian, jabatan mahupun agensi di bawahnya.
Katanya, berhubung pengesahan aduan yang dibangkitkan, terdapat perkembangan terkini oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) iaitu penyedia sistem SISPAA untuk mengintegrasikan pengesahan identiti pengadu melalui MyDigital ID ke dalam portal SISPAA.
Tambahnya, langkah itu bagi memperkukuh integriti dan keberkesanan pengurusan aduan awam. – UTUSAN











