PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong memohon maaf secara terbuka susulan hantarannya berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu ketika waktu solat Jumaat.
Pengerusi DAP Melaka itu mengakui bahawa terdapat kelemahan dalam cara beliau menyampaikan pandangan tersebut.
“Pemilihan kata-kata dan nada hantaran berkenaan telah menimbulkan salah faham, menyinggung perasaan serta mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat, khususnya umat Islam.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya amat menghormati agama Islam, amalan solat Jumaat serta hak umat Islam untuk menunaikan tuntutan agama mereka. Saya sama sekali tidak berniat untuk mempertikaikan atau memperkecilkan kepentingan ibadah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Poay Tiong mempertikai arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang melarang aktiviti perniagaan dan hiburan ketika waktu solat Jumaat.
Poay Tiong berkata, beliau sebagai seorang wakil rakyat dan pemimpin sepatutnya lebih berhati-hati, bertanggungjawab dan sensitif dalam menyampaikan pandangan, khususnya apabila melibatkan isu agama dan sensitiviti masyarakat majmuk.
“Saya menerima teguran dan kritikan yang telah diberikan dengan hati terbuka. Saya juga mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan dalam penyampaian tersebut.
“Sekali lagi, saya dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung atau terluka dengan hantaran saya. Saya akan mengambil iktibar daripada perkara ini dan lebih berhati-hati dalam setiap kenyataan pada masa hadapan.
“Saya memohon maaf dengan penuh keikhlasan,” katanya.-UTUSAN











