Tahap keselamatan Pangkalan Udara TUDM Subang tinggi

Tahap keselamatan Pangkalan Udara TUDM Subang tinggi

MUHAMAD NORAZLAN ARIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahap keselamatan bagi mencegah aktiviti penyeludupan dadah terutama di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang terbukti masih tinggi dan terjamin.

Ini kerana kemudahan Bahagian Pergerakan Udara di pangkalan udara berkenaan dilengkapi dengan kemudahan mesin pengimbas sebagaimana digunakan di lapangan terbang lain bagi memastikan setiap bagasi diperiksa sebelum dibenarkan menaiki pesawat.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, penemuan bahan terlarang itu juga hasil daripada pemeriksaan ketat anggota yang bertugas tanpa mengira latar belakang serta pangkat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malah tiada sebarang kompromi diberikan dalam aspek berkenaan. Saya sendiri sudah pasti perlu melalui proses pemeriksaan yang sama dan ketat.

“Juruterbang sendiri akan diperiksa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum berlepas. Tatacara pemeriksaan sebenarnya adalah sama seperti piawaian penerbangan lain cuma berbeza dari segi penguatkuasaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lima pegawai TUDM itu ialah antara 11 suspek ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran 96.64 kilogram (kg) dadah dengan menggunakan aset TUDM, baru-baru ini.

Hussein berkata, 11 individu termasuk enam orang awam itu diberkas susulan penemuan dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM4.83 juta.

Dalam Muhamad Norazlan berkata, kebanyakan pegawai TUDM yang ditahan kelmarin merupakan juruterbang pesawat C-130 daripada No. 14 Skuadron yang  berpangkalan di Labuan.

Bagaimanapun dua daripadanya yang merupakan anggota TUDM direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Tawau bagi membantu siasatan.

Kedua-dua suspek berpangkat Koperal dan Pegawai Waran II itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Norazlan menjelaskan bahan tersebut dirampas selepas lima bagasi berbalut plastik dan sebuah kotak tanpa pelekat tapisan keselamatan berada di kawasan legar bahagian ketibaan dan tuntutan barang pada 10 pagi, kelmarin.

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap bagasi berkenaan menemukan beberapa botol yang berlabel baja kimia dan dilarang daripada dibawa menaiki pesawat.

Sementara itu, Hussein ketika berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan sebenar pegawai TUDM yang terbabit termasuk jumlah bayaran yang diterima bagi kegiatan berkenaan.

“Siasatan terperinci perlu dilakukan bagi memastikan semua pihak yang terlibat dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan. Kita juga masih mengenal pasti dalang utama dalam kegiatan ini,” katanya.

Mengulas kemungkinan penyalahgunaan aset kerajaan dalam kegiatan itu, beliau berkata, perbuatan menggunakan kemudahan kerajaan untuk aktiviti haram merupakan perkara serius yang boleh mengancam keselamatan negara.

“Sudah pasti, perkara ini boleh difahami oleh semua pihak. Penggunaan aset kerajaan untuk aktiviti haram adalah sesuatu yang amat berbahaya kepada negara,” tegasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini