PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan keupayaan bangkit apabila menundukkan Cong An Ha Noi 3-1 dalam aksi Kumpulan B Piala Shopee meskipun dikejutkan dengan jaringan awal tuan rumah pada minit ketiga, malam kelmarin.
Beraksi di Stadium Hang Day, Vietnam, Harimau Selatan terlebih dahulu ketinggalan selepas pemain pertahanan, Nene tertolak bola ke gawang sendiri, namun situasi itu tidak menggugat momentum pasukan untuk memburu kemenangan.
JDT tampil lebih berkesan pada separuh masa kedua apabila meledak tiga gol menerusi pemain gantian, Oscar Arribas yang menyumbang dua jaringan, selain satu gol Marcos Guilherme untuk memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan itu.
Arribas yang masuk pada awal babak kedua mengakui gembira dapat membantu JDT meraih keputusan positif, sekali gus mengukuhkan kedudukan pasukan itu di puncak Kumpulan B dengan enam mata.
“Kami sangat gembira kerana berjaya mendapatkan keputusan yang diharapkan dan sekarang kami mahu mengalih perhatian kepada aksi ACL (Liga Juara-Juara Asia), kemenangan ini adalah untuk semua penyokong JDT,” katanya.
Dia turut menegaskan bahawa pasukan perlu kekal bersatu dan memberikan aksi terbaik tanpa mengira situasi sama ada ketinggalan atau mendahului dalam perlawanan.
Dalam pada itu, Cong An Ha Noi boleh dianggap kurang bernasib baik apabila beberapa percubaan mereka sekadar menggegarkan tiang gol JDT yang dikawal rapi Andoni Zubiaurre.
Mengulas kebangkitan JDT pada separuh masa kedua, Arribas berkata pemain dan jurulatih, Xisco Munoz membuat percaturan terbaik ketika waktu rehat untuk mengubah keadaan selepas persembahan pada babak pertama.
“Kami hanya melakukan perkara yang sering dibuat JDT, dalam bilik persalinan kami cuba mengubah situasi separuh masa pertama dan inilah bola sepak, apa sahaja boleh berlaku,” ujarnya. – UTUSAN











